Antara lakonan dalam teater Putera Salang Ur. Puteri Langau sedang mengubati luka Tengku Da. SEMPENA memeriahkan program Semarak Seni Bangsawan, kumpulan teater Suara Alam, Selangor bakal mementaskan sebuah teater bangsawan yang berjudul Putera Salang Ur. Menurut pengarahnya, Mohd Rosli Abd Wahab, teater yang mendapat kerjasama dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini akan dipentaskan bermula 14 hingga 16 Jun ini bertempat di Panggung DBKL. Berkongsi mengenai teater ini, Rosli berkata, dia tidak sangka percubaannya untuk mementaskan naskhah ini akhirnya diterima. "Sebenarnya sudah empat tahun atau empat kali, saya menghantar naskhah ini kepada pihak berkenaan untuk mementaskannya. "Bagaimanapun, sebelum ini ia tidak pernah diterima, tetapi tahun ini ia membawa kejayaan dan perkara ini satu penghargaan kepada produksi kami," katanya kepada Zass. Ujar Rosli, selain itu pihaknya turut berhadapan pelbagai cabaran termasuklah dari segi masa. "Kita mempunyai lebih 30 krew untuk pementasan ini, jadi setiap dari mereka adakala tidak dapat menepati masa untuk latihan. "Untuk menyatukan mereka agak sukar namun, dalam tempoh dua bulan sesi latihan ini, semuanya berjalan dengan baik dan kami sudah bersedia berhadapan dengan penonton nanti," katanya. Asal-usul nama Selangor Bercerita mengenai misi dan objektif dia memilih karya ini, kata Rosli, ia diolah daripada cerita lisan rakyat yang berkisar tentang asal-usul Negeri Selangor. "Saya rasa banyak kisah asal-usul negeri ini yang menarik, dan saya telah memetik satu dari kisah tersebut iaitu siapa Putera yang pertama di Selangor. "Lagipun, saya yakin tidak semua mengetahui tentang perkara ini," katanya berharap dapat berkongsi pengetahuan dan ilmu asal-usul Selangor menerusi teater ini. Tambahnya, selain itu, dia juga bertekad membawa karya bangsawan untuk didedahkan kepada generasi muda. "Setiap elemen bangsawan disuntik dengan baik dan rapi, saya mahu penonton khususnya masyarakat kini mengenali perbezaan teater bangsawan dan moden," katanya. Para pembesar istana menjunjung duli Sultan Langkapura Pelakon punya kredibiliti tersendiri Dalam setiap teater yang dipentaskan, sudah pasti pelakon memainkan peranan penting, mengulas mengenai pemilihan pelakon bagi Putera Salang Ur, bicara Rosli, setiap pelakon yang dipilih mempunyai kredibiliti masing-masing. "Rata-rata pelakon ini datangnya dari penggiat seni teater negeri Selangor dan mereka sudah berpengalaman. "Cuma setiap watak yang diterima pelakon itu berbeza mengikut kemampuan mereka," katanya Kina Mentor dan Salman Maharaja Lawak turut terlibat dengan pementasan ini. Diaju pertanyaan mengenai Kina dan Salman, akui Rosli ia bukan sekadar populariti yang dimiliki mereka. "Kami tidak memilih mereka kerana mempunyai nama dalam industri tetapi kerana bakat yang ada. "Kina misalnya memang pernah berlakon teater dan kemampuannya menyanyi membuatkan saya memilih dia untuk watak Puteri Langau. "Manakala Salman pula, dia ada karakter unik sebagai Pendita dalam teater ini," katanya berharap Putera Salang Ur mendapat respons baik dari penonton.
|
ADVERTISEMENT