Tiga beranak diserang
Dari kiri: Sundran, Mary dan Jegantiban dibenarkan pulang selepas menerima rawatan sebagai pesakit luar RAWANG - Sepasang suami isteri yang sedang bertugas sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah bersama anaknya diserang 10 lelaki memakai penutup muka dan bersenjata tajam, awal pagi semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, anak pasangan terbabit M Jegantiban, 16, cedera di bahagian kepala, telinga kanan hampir putus, lebam di tangan dan kaki ketika mempertahankan diri. Sementara bapanya, S Sundran menerima enam jahitan di dahi dan luka di bahagian tangan manakala ibunya, A Mary lebam di beberapa bahagian badan akibat dipukul. Menurut Jegantiban, dia ke sekolah tempat ibu bapanya bekerja jam 10 malam untuk menghantar makanan. Ibunya tidak benarkan dia pulang selepas khuatir keselamatannya apabila terlihat sekumpulan lelaki berkumpul di tempat menunggu pelajar di luar sekolah. “Saya duduk teman ibu sambil main komputer riba. Tiba-tiba sekumpulan lelaki bawa senjata buka pintu dan serang kami. Kami diseret beberapa meter diikat guna tali mesin rumput,” katanya kepada Sinar Harian semalam. Katanya, penjenayah kemudian merampas telefon bimbit, komputer riba dan ‘ipad’ milik mereka sebelum menceroboh pejabat sekolah. “Sekitar jam 3 pagi, ketika mereka ada di aras atas kami melarikan diri ikut pintu belakang," katanya. Kata Mary , insiden itu pertama kali berlaku sejak 13 tahun bekerja sebagai pengawal keselamatan. “Kejadian ini buat kami rasa takut nak kerja pada waktu malam. Kawasan sekolah agak sunyi...jauh. Orang ramai tak sedar (kejadian),” katanya.
|
ADVERTISEMENT