Pengasas Muslim ‘I Want to Touch a Dog’ atasi prejudis bagi rapatkan jurang Syed Azmi Alhabshi takut dengan anjing, namun kurang takut dengan pandangan orang lain terhadapnya sebagai seorang Muslim yang mengasaskan sesuatu yang pertama kali di Malaysia – acara di mana warga Muslim akan menyentuh dan berinteraksi dengan anjing. Malaysia, di mana kaum dan agama semakin menjadi isu hipersensitif, acara "I Want to Touch a Dog" esok oleh Syed Azmi mengundang pujian serta kritikan. Namun dia menekankan objektifnya adalah untuk menolong orang ramai mengatasi rasa takut kepada anjing dan belajar rasa belas kasihan yang diajar Islam. "I Want to Touch a Dog" akan diadakan di Central Park Bandar Utama dari 8 am ke 10 am esok, bagi warga Muslim dan bukan Muslim yang takut kepada anjing. "Objektifnya adalah untuk mengatasi ketakutan kepada anjing, lebih memahami mereka dan mengamalkan 'sertu'. Ia bukan untuk promosikan peliharaan anjing," kata Syed Azmi, seorang ahli farmasi 30-an, kepada The Malaysian Insider. Warga Kuala Lumpur itu berkata ingin membantu orang ramai mengatasi salah faham dan sensitiviti yang menyelubungi haiwan tersebut. Anjing memang dianggap tidak suci dalam Islam dan seorang Muslim yang menyentuh air liur atau najis anjing perlu membersihkan diri dengan tanah dalam ritual yang dipanggil 'sertu'. Tetapi kekurangan pendedahan kepada anjing dan sikap konservatif yang semakin meningkat dalam masyarakat, ditambah dengan ketiadaan hak asasi haiwan melihat kes-kes di mana anjing dilayan dengan teruk. Satu kes tentang anjing yang sempat dinamakan Brianna sebelum mati, ditembak dengan busur dan anak panah oleh seorang lelaki di Balakong apabila ia berdiri di luar rumahnya. Baru-baru ini pila, terdapat laporan keracunan besar-besaran anjing liar yang berlegar di kawasan tempat letak kereta di ibu kota, Bukit Bintang. Juga berlaku baru-baru ini adalah insiden yang dirakam video menunjukkan seorang budak lelaki menghayun seekor anak anjing dari ekornya dan melemparkannya ke lantai. Dan sekali-sekala, kes anjing terbiar oleh pemilik yang mati kelaparan akan dikongsi di laman sosial. Dahulu, banyak aduan datang daripada penduduk tentang cara pengendalian ganas oleh penangkap anjing dari majlis perbandaran yang memerangkap haiwan liar. Merobohkan ketakutan dan prejudis Syed Azmi berkata mendapat kebenaran daripada polis dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) untuk mengadakan acara tersebut, yang akan dipantau pasukan medikal yang bersiap-sedia. Terkejut dan berterimakasih kerana pihak berkuasa membenarkannya untuk meneruskan acara itu, dia berkata mereka seperti faham penjelasannya bahawa acara tersebut bertujuan mengatasi ketakutan kepada anjing. "Saya tinggal di (Taman Tun Dr Ismail) kejiranan Melayu. Saya tidak ada jiran Cina, oleh itu tiada anjing peliharaan berdekatan. "Saya pernah melihat orang lari apabila ternampak anjing, atau membaling batu kepadanya. Ia sangat menyedihkan buat saya.... bagaimana perasaan orang ramai apabila mereka lihat haiwan yang dilayan teruk, didera dan ditolak?" katanya. Daripada ketakutannya sendiri terhadap anjing, dan keinginan untuk membantu mereka yang sepertinya untuk lebih memahami anjing serta mencegah kezaliman terhadap haiwan, Syed Azmi menulis di Facebook satu hari mengatakan dia ingin menyentuh anjing tetapi takut. Kenyataannya menarik begitu banyak jawapan serta komen yang menyedarkannya ramai lagi yang merasa begitu. "Memandangkan kita begitu ramai, saya fikir mengapa tidak kita adakan acara, sentuh anjing dan jalankan 'sertu' bersama? "Saya putuskan cara yang terbaik untuk belajar adalah untuk belajar daripada mereka yang sayangi haiwan itu," katanya. Syed Azmi berkata respons terhadap acara itu setakat ini baik, dan bermula malam Khamis apabila The Malaysian Insider menemuramahnya, dia sudah mendapatkan 86 pemilik anjing sukarelawan bagi acaranya. Bagaimanapun, dalam mempromosikan acaranya, Syed Azmi mendapati dirinya menjadi sasaran oleh mereka yang tidak dapat menerima apa yang akan dilakukannya. Orang-orang yang tidak dikenali memarahinya, katanya. Seorang pengguna Facebook Noriah Yusuf menulis komen, "Apa event bodoh ni. Ini nak menyesatkan orang Islam." Manakala seorang lagi pengguna Facebook menulis, "Macam tidak ada benda lain." "Saya hanya tenang dan menulis respons kepada mereka dengan sopan. Saya juga terpaksa menenangkan rakan-rakan bukan Muslim saya apabila mereka marah dengan komen-komen jahat terhadap saya. "Saya tidak kenal mereka ini dan tidak akan mengutuk mereka. Apa sahaja perkataan yang mereka gunakan terhadap saya, saya tetap ada sokongan lain seperti media. "Selama ini saya jujur tentang objektif acara ini dan dengan bantuan rakan-rakan saya, kami semua lakukan yang terbaik. Tiada yang mengecewakan kami sekarang," katanya, menambah ada juga yang mengugutnya, menjadikannya lebih berhati-hati, tetapi belum lagi melemahkan semangatnya. "Memetik (selebriti TV realiti dan fesyen Amerika) Kimora Lee Simmons, jika anda tiada pengkritik, anda belum sampai lagi," katanya berjenaka. Ramai yang mengalu-alukan acara tersebut, seperti Tantty Ali yang menulis: "Ini berita baik, kesedaran dan persefahaman serta toleransi." Siew Mee Khew menulis: "Bagusnya dapat tahu kita ada warga Muslim yang rendah diri dan sedar bahawa anjing juga makhluk Tuhan! Anjing punyai fikiran yang bersih, taat dan penuh kepercayaan." Beberapa pengguna Facebook Muslim juga menulis post yang membantu untuk menjelaskan Al-Quran tidak pernah menghalang orang Islam daripada menyentuh anjing, dan ia bukan dosa, serta erti 'samak' dan 'sertu'. 'Sertu' merupakan ritual bagi Muslim yang menyentuh anjing atau babi, manakala 'samak' digunakan apabila menyentuh bangkai haiwan yang tidak suci. Mempromosi kasih sayang dan kesatuan Syed Azmi kelihatan seperti seorang optimis yang ceria. Jika acaranya dibatalkan pada saat-saat akhir, dia tidak akan melihatnya sebagai kegagalan kerana dapat menbangkitkan kesedaran tentang anjing. "Kezaliman terhadap haiwan seperti anjing bukan isu Islam. Ia isu Malaysia." katanya. Acara tersebut juga akan merapatkan rakyat Malaysia melalui kasih sayang terhadap haiawan, tambahnya. Setiap peserta perlu membawa botol air ke taman untuk membersihkan diri, terutamanya Muslim yang akan menjalani 'sertu'. "Kami akan lihat bukan Musllim berkongsi air dengan Muslim supaya mereka boleh menjalani 'sertu'... ini adalah cara di mana kami boleh mempromosikan rasa hormat sesama mereka, persefahaman serta toleransi. "Kita sepatutnya sentiasa fokus kepada nilai moral dan mulia. Setiap agama mempunyai nilai mereka yang tersendiri. Tidak perlu menjadi obsesif atau angkuh," katanya. Abang sulung daripada lima adik-beradik, Syed Azmi berkata ibu-bapanya dan adik-adiknya risau dengan projek terbarunya itu, memandangkan sensitiviti Muslim semakin tinggi. "Mereka risau saya akan menghadapi masalah tetapi mereka menyokong saya," katanya. Ini bukan kali pertama Syed Azmi menjalankan projek peribadi, walaupun kali ini ia projek yang paling dikenali dan berani. Masih bujang lagi, dia gemar menjalankan kerja-kerja kecil sebagai sebahagian projeknya sendiri, "Tamak Pahala". Dia pernah memberi sayur-sayuran bernilai RM1,500 kepada residen pangsapuri kos rendah. Mereka yang inginkannya hanya perlu beratur dan memberitahunya masakan apa yang mereka ingin masak hari itu dan meminta sayur-sayuran tersebutnya. Dia juga pernah membeli 10 paket nasi lemak dan meletakkannya di tempat awam di atas dulang dengan nota yang mengatakan sesiapa yang tiada duit dan lapar boleh mengambil satu paket. Dia perhatikan ada yang membeli paket-paket nasi lemak yang baru untuk menggantikan yang sudah diambil daripada dulang tersebut. "Tiada yang kekal di dunia ini dan apa yang kita lakukan hari ini mungkin akan jadi perkara yang terakhir kita lakukan. Lebih baik kita tinggalkan pandangan yang baik kepada orang lain dengan melakukan perkara yang kecil tetapi bermakna selagi saya di sini. "Saya berharap orang ramai akan mengingati saya dengan amalan saya dan mendoakan saya setelah saya meninggal," kata Syed Azmi. "I Want to Touch a Dog" buka kepada orang ramai dan tiada pendaftaran diperlukan. Bagaimanapun peserta dinasihatkan untuk mengikut kod warna untuk menunjukkan tahap penyertaan mereka. Mereka yang ingin menyentuh anjing dan bermain dengannya perlu memakai baju kuning. Sukarelawan pelatih 'sertu' akan memakai hijau dan sukarelawan lain akan memakai ungu, sementara pemilik anjing yang menawarkan anjing mereka bagi acara tersebut akan memakai merah. Semua anjing akan diperiksa sebelum disahkan sebagai anjing sukarelawan. Acara akan dimulakan dengan taklimat pendek – tentang cabaran mengendalikan anjing oleh penyelamat anjing, seorang pemandu teksi, doktor veteranarian dan sarjana Muslim – serta demonstrasi yang akan mengambil masa 30 minit semuanya. Selepas satu jam berinteraksi dengan anjing-anjing tersebut, peserta akan menjalankan 'sertu' dengan sukarelawan. – 18 Oktober, 2014.
|
11
Bagus |
7
Marah |
10
Terkejut |
6
Sedih |
8
Lawak |
15
Bosan |
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Dewa19XKangen posted on 19-10-2014 12:36 PM
entah la... walo pun xsalah.. tp siap jadi event.. tu bukan satu kesedaran.. tp dah terasa seperti k ...
spiderman80 posted on 19-10-2014 01:37 PM
Bila dia nak buat aktiviti I Want To Touch Puan Botakchinpeng?
ADVERTISEMENT