Bunohan Bukan Tempat Pembunuhan Bendera parti yang bertanding menghiasi laluan ke Kampung Bunohan
BUNOHAN - Bunohan, sebuah kampung yang agak terpencil di daerah Tumpat berhampiran dengan sempadan Thailand kembali menjadi sebutan sempena PRK Dun Pengkalan Kubor ini. Sebelum ini, nama tersebut menjadi terkenal kerana ia dijadikan tajuk sebuah filem tempatan. Daripada sebuah kampung yang sunyi, Bunohan kini meriah dengan kehadiran petugas parti politik yang melintasi kampung ini dari Kota Bharu ke pekan Pengkalan Kubor. Jalannya mula sesak dengan kenderaan keluar masuk, poster dan kain rentang digantung di sepanjang jalan serta bendera Pas dan BN berkibaran di sana sini. Melihat sahaja papan tanda yang tertera perkataan Bunohan, ada yang meremang bulu roma kerana menyangka mereka perlu bertugas di perkampungan di mana ramai manusia dibunuh. Tanggapan itu dikukuhkan lagi jika ada yang pernah menyaksikan filem Bunohan arahan Dain Iskandar Said, tiga tahun lalu. Filem Bunohan yang memenangi anugerah filem terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-25 dan dilakonkan oleh Faizal Hussein, Zaharil Adzim, Pekin Ibrahim dan Bront Palarae itu mengisahkan konflik hubungan tiga beradik di Kampung Bunohan yang berakhir dengan pertelingkahan dan pembunuhan. Namun, Penghulu Mukim Bunohan, Mohammad Yaakob berkata, kisah dalam filem itu tiada kaitan langsung dengan asal usul Kampung Bunohan. Menurutnya, beliau sedar nama unik Kampung Bunohan menjadi sebutan orang ramai sejak kampung itu dibuka dan apabila ada orang luar berpindah dan menetap di situ. “Berapa orang kena bunuh di kampung ini? Itu soalan pelik yang sudah lali saya dengar. “Kadang kala saya usik juga perantau ini, mereka percaya terus apa yang saya cakap,” katanya. Mohammad berkata, sebenarnya bunohan adalah sejenis alat menangkap ikan yang digunakan penduduk di kawasan berkenaan untuk menangkap ikan darat seperti ikan puyu, sepat, ikan keli dan haruan di satu lubuk ikan. “Lubuk ikan itu masih ada sehingga sekarang, namun ikannya sudah pupus serta airnya semakin cetek,” katanya. Menurutnya, lubuk ikan itu menjadi lubuk rezeki buat mereka. “Dahulu, airnya sangat dalam dan di dalamnya hidup pelbagai spesies ikan darat. Bunohan dipasang di muka air oleh penduduk kampung untuk menangkap berbagai jenis ikan,” ceritanya. Katanya, alat itu disebut bunohan kerana ia akan membunuh ikan yang masuk ke dalam alat itu, dan langsung tiada kaitan dengan pembunuhan orang.
|
8
Bagus |
11
Marah |
12
Terkejut |
14
Sedih |
5
Lawak |
11
Bosan |
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
ADVERTISEMENT