Ugut Jiran Dengan Pisau
KUALA LUMPUR - Seorang pekerja tempat letak kereta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap jirannya dengan menggunakan sebilah pisau.
K. Suparamaniam, 37, dituduh mengacukan pisau dengan maksud menakutkan Khairul Nizam Nazri, 34, di Blok 42-17-03 PPR Wangsa Sari, Wangsa Maju di sini pada 2.30 petang, semalam.
Dia dituduh mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Susan Leo tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh memandangkan kesalahan yang dilakukan itu adalah serius.
Bagaimanapun peguam K. Komagan memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin atas alasan tertuduh menanggung lima orang anak yang masih bersekolah termasuk isterinya yang tidak bekerja.
Majistret Zuraini Abdul Razak membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula 3 Oktober.
Selepas prosiding, keluarga tertuduh yang hadir ke mahkamah kelihatan menangis kerana mereka tidak mampu membayar wang jaminan.
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|