MOHAMMED SHUKOR (dua dari kanan) meraikan kejayaan Faiq (dua dari kiri) menamatkan renangan merentas Selat Pulau Pinang di pantai Bagan Ajam semalam. BUTTERWORTH - Seorang pemuda cacat penglihatan berjaya berenang merentasi Selat Pulau Pinang sejauh lima kilometer dari Jeti Marina, George Town ke Kawasan Rehat dan Rawat Bagan Ajam, Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth di sini pagi semalam. Walaupun terpaksa menahan sakit akibat disengat obor-obor dan mengharungi ombak kuat, Faiq Adnan, 23, berjaya menamatkan renangan tersebut dalam masa dua jam 20 minit 35 saat. Dia yang merupakan pelajar tahun dua jurusan Kesusasteraan Melayu Universiti Malaya memulakan renangan dari jeti berkenaan kira-kira pukul 9 pagi dengan diiringi jurulatihnya, Datuk Ooi Win Juat. Ketibaan Faiq kira-kira pukul 11.20 pagi di sini disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom), Mohammed Shukor Ismail dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Pulau Pinang (JBSPP), Zakaria Kasa. Turut menyambut ketibaannya ialah Presiden Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya (Pesron) Pulau Pinang, Tiun Ling Ta, kedua ibu bapanya, Adnan Yusof, 62, dan Norhayati Mohd. Isa, 57, serta kira-kira 200 orang yang menunggu sejak pukul 10 pagi.
|
ADVERTISEMENT