Jijik Najis Masuk Restoran AZMI Mohamed Cassim (kanan) dan beberapa pekerjanya membersihkan air najis yang menyebabkan bau busuk dan kekotoran di restorannya di Klang semalam.
KLANG 12 Ogos - Setiap kali hujan lebat, pelanggan Restoran Al-Bidayah di sini, pasti merasa jijik dan hilang selera berikutan bau busuk akibat air kumbahan yang bertakung di sekeliling premis itu.
Pemilik restoran berkenaan, Azmi Mohamed Cassim, 32, berkata, masalah yang berlarutan sejak empat tahun itu berpunca daripada sistem pengaliran kumbahan gagal menampung kapasiti air yang banyak semasa hujan lebat. Akibatnya jelas beliau, laluan air akan tersumbat dan bertakung seterusnya melimpah masuk ke dalam restoran. "Saya semakin tertekan kerana pengendali sisa kumbahan iaitu Indah Water Konsortium (IWK) masih gagal menyelesaikan sistem kumbahan yang tersekat di belakang restoran saya ini.
"Bayangkan apabila hujan lebat, air kumbahan melimpah dan naik ke kaki lima kedai. Pengunjung yang tidak tahu akan memijak air tersebut menyebabkan restoran berbau najis," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Pusat Komersial Taman Seri Andalas di sini, hari ini. Yang hadir sama ialah Pengerusi Gerakan Belia 4B Parlimen Kota Raja, Muhd. Ali Zakariah. Azmi memberitahu, IWK sepatutnya menyelesaikan masalah sistem kumbahan tersekat dengan membuat saluran lain bagi melepaskan sisa ke parit besar yang terletak tidak jauh dari restorannya. "Saya menuntut IWK menyelesaikan masalah sistem pengaliran kumbahan yang tersumbat dan membayar ganti rugi kerana saya kehilangan ramai pelanggan setiap kali air kumbahan melimpah sejak empat tahun yang lalu. "Lalat berterbangan menghurung makanan sehingga pelanggan memandang serong mutu kebersihan premis perniagaan yang saya sudah usahakan dengan susah payah selama ini," ujarnya. Sementara itu Muhd. Ali berkata, beliau berharap masalah tersebut diselesaikan oleh pihak terbabit dengan segera. "Jika kawasan restoran terus digenangi air najis, sudah pasti imej agama Islam yang mementingkan kebersihan dan kesucian dalam penyediaan makanan dipandang serong," katanya. |
ADVERTISEMENT