Heng Mei Bruce Lee Perompak Guna Parang Heng Mei menunjukkan kesan luka di kepalanya akibat tetakan penjenayah yang cuba menyamun rumahnya. MANJUNG – Silap sasaran, Itu dialami seorang penjenayah apabila dibelasah mangsanya dalam satu kejadian di Segari, Jumaat lalu. Dalam kejadian itu kira-kira jam 8.30 malam itu, suspek cuba memecah masuk kediaman warga emas berusia 79 tahun sebelum dikejutkan dengan bunyi salakan anjing. Mangsa, Tong Heng Mei, yang juga merupakan penjual ayam berkata, ketika kejadian, dia bersama isteri sedang makan malam di rumahnya. Menurutnya, apabila mendengar bunyi salakan anjing, dia segera mencapai lampu suluh dan parang untuk memeriksa apa yang berlaku. “Sebaik saya keluar dari rumah, saya nampak kelibat seseorang bertopeng dan memegang parang di luar kediaman. “Tiba-tiba lelaki itu melibas parang ke kepala saya dan saya menyerang balik untuk mempertahankan diri," katanya yang mempunyai ilmu mempertahankan diri. Heng Mei berkata, pergelutan itu menyebabkan dia cedera di kepala, badan dan jari. Jelasnya, penjenayah juga cedera kerana terdapat kesan titisan darah di halaman rumah sehingga jalan raya selepas suspek melarikan diri. "Isteri saya tidak cedera kerana dia mengunci pintu rumah apabila pergelutan itu berlaku. “Selepas itu, saya menelefon rakan-rakan lain untuk memeriksa keadaan sekeliling rumah dan menemui sebilah parang bersama satu pistol mainan dipercayai milik penjenayah berkenaan,” katanya yang mendapat rawatan dari klinik berhampiran. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan kejadian itu. Katanya, ketika kejadian, keadaan di luar rumah mangsa gelap dan mangsa tidak dapat mengenal pasti suspek yang cuba menyamun rumahnya. “Mangsa juga telah mengalami beberapa kecederaan akibat tetakan dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. “Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kes ini diharap dapat menyalurkannya kepada kami,” katanya.
|
ADVERTISEMENT