Siti Fatimah dan Kapri lega dengan perkembangan kesihatan anak mereka. IPOH – Gara-gara terpijak plastik yang dibakar, seorang kanak-kanak lelaki kehilangan satu jari kaki yang terpaksa selepas tapak kaki kanannya melecur teruk. Mohamad Khairul Amsyar Fahmi Kapri yang baru berusia setahun enam bulan selamat menjalani pembedahan, 1 Ogos lalu untuk membuang satu jari kaki sebelum melakukan pembedahan plastik menampal semula tapak kakinya menggunakan kulit yang diambil dari bahagian paha. Ibunya, Siti Fatimah Nasia, 25, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6 petang 17 Julai lalu, anak bongsu dari tiga beradik itu keluar dari rumahnya di Kampung Bersia Lama, Gerik melalui pintu belakang sebelum menghampiri kawasan pembakaran sampah. Menurutnya, sebaik menghampiri kawasan itu, Mohamad Khairul Amsyar dikatakan terpijak plastik yang terbakar sebelum api berkenaan turut membakar tapak kakinya hingga menampakkan daging. “Memang saya terkejut dengar orang jerit kuat, saya lari untuk dapatkannya, waktu itu masih dapat lihat api itu seolah memanggang kaki anak saya. “Hanya tuhan yang tahu perasaan saya, anak sekecil itu menangis keperitan, mujur ramai yang bantu cuba padamkan api itu,” katanya ketika ditemui sempena lawatan Pemuda Umno Perak bersama Yayasan Bina Upaya (YBU) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, semalam. Mohamad Khairul Amsyar menerima rawatan awal di Hospital Gerik sebelum dibenarkan pulang, namun terpaksa dimasukkan semula ke hospital apabila keadaannya kembali kritikal, 29 Julai lalu. Dalam tempoh itu, kaki kanak-kanak itu dikatakan membengkak dan mengeluarkan darah yang banyak. Siti Fatimah berkata, dia sama sekali tidak menyangka, kesan yang dihadapi anaknya begitu kritikal hingga terpaksa kehilangan jari kaki. Dia turut mengakui, berat hati untuk membenarkan pembedahan itu, namun tidak mempunyai jalan lain bagi memastikan keselamatan anaknya, terjamin. “Sampai sekarang saya masih terbayang api yang membakar tapak kaki anak saya, dia meronta kesakitan, sebelum ini hampir setiap malam dia menangis, mengingau. “Alhamdulillah, selepas pembedahan, keadaannya bertambah baik, boleh senyum dan boleh bermain, mungkin tak lama lagi kami dapat pulang ke rumah semula,” katanya. Dalam kunjungan itu, Ketua Pemuda Umno negeri, Hairul Anwar Mohamed Noor memaklumkan, pengurusan HRPB bersetuju untuk memberikan pengecualian bayaran bil sepanjang mendapatkan rawatan di hospital itu. Katanya, langkah itu sebagai tanda keprihatinan terhadap kesusahan keluarga berkenaan yang hanya bergantung kepada pendapatan suami sebagai tukang kebun sekolah. “Selepas ini, JKM bersama YBU akan terus memantau keperluan keluarga ini, kita juga bercadang untuk mengadakan lawatan ke kediaman mereka dalam masa terdekat,” katanya. Keadaan keluarga itu sebelum ini didedahkan seorang ahli keluarga berkenaan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang kemudiannya mahu, satu tindakan susulan dilakukan. Bapa Mohamad Khairul Amsyar, Kapri Osman, 42, melahirkan rasa syukur dengan keprihatinan yang diberikan dan menganggap ia sebagai rezeki Syawal. “Dengan gaji saya RM600 sebulan, saya tak fikir yang saya mampu nak tampung semua kos rawatan di hospital ini, terima kasih pada semua yang membantu,” katanya.
|
9
Bagus |
9
Marah |
9
Terkejut |
9
Sedih |
10
Lawak |
12
Bosan |
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
ADVERTISEMENT