MARANG - Tradisi orang Melayu memasang lampu pelita semasa bulan Ramadan terutama menjelang malam tujuh likur atau 10 malam terakhir sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri, kini semakin berkurangan dan jarang dapat dilihat di Malaysia. Bagaimanapun di Terengganu tradisi itu tidak mungkin dilupakan setelah kerajaan negeri menjadikannya sebagai pertandingan serta acara tahunan. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd Jidin Shafee berkata, pertandingan yang dianjurkan itu mampu menjadi produk pelancongan selain diketengahkan sebagai ikon warisan negeri terutama semasa sambutan Aidilfitri. Katanya, bagi memastikan tradisi itu tidak lapuk ditelan zaman, pihaknya berhasrat menggilirkan penganjuran Pertandingan Pelita Raya yang diadakan hampir saban tahun sejak 2009 ke setiap daerah jika sambutan diterima pada tahun ini memberangsangkan. "Sebelum ini kita adakan pertandingan ini di Kuala Nerus dan pada tahun ini di daerah Marang iaitu Kampung Alur Limbat dipilih menjadi tuan rumah dan Insya-Allah tahun depan kita akan buat di daerah lain pula. "Pada masa yang sama kita berharap agar pertandingan ini dapat diadakan dalam skala yang lebih besar, sekali gus berupaya menjana ekonomi kepada penduduk setempat," katanya kepada Bernama di sini. Dalam pertandingan tahun ini, 140 rumah peserta men-gesahkan penyertaan mereka dalam pertandingan bertemakan 'Warisan Cahaya Budaya Bangsa' yang berlangsung selama enam hari bermula 15 Julai lalu yang menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM12,000. Untuk penganjuran tahun ini, beliau berkata RM70,000 diperuntukkan bagi menjayakan pertandingan tersebut di Kampung Alor Limbat kerana istimewanya kampung tradisi itu terletak pada rumah-rumah tradisional yang masih kekal keasliannya selain pernah dinobatkan sebagai 'Desa Lestari Abad Ke-21' oleh Kementerian Luar Bandar dan Wilayah pada tahun 2012. Dalam pada itu, tinjauan Bernama di kampung tersebut mendapati pelbagai replika pelita minyak tanah hasil kreativiti penduduk kampung dipamerkan antaranya penciptaan replika berbentuk perahu, ketupat, masjid dan pokok kelapa. Sementara itu, seorang peserta Mamat Tayib, 60, berkata beliau mengambil masa kira-kira seminggu bersama isteri serta dua anaknya untuk menyiapkan pelita\ minyak tanah replika perahu serta pintu gerbang gergasi di hadapan rumahnya. Katanya, apa yang menarik dalam pertandingan ini ialah kesemua pelita yang dipasang di perkampungan ini tidak seperti pelita-pelita yang terdapat di pasaran, tetapi dihasilkan daripada bahan terpakai dan buangan serta bahan semula jadi. "Memandangkan ini merupakan tahun pertama kampung kami dipilih menjadi tuan rumah pertandingan ini, boleh dikatakan semua penduduk kampung bersemangat untuk menyiapkan replika pelita minyak tanah mengikut kreativiti, Malah ada di antara kawan-kawan pak cik sanggup bersengkang mata untuk menyiapkan replika di rumah mereka. "Replika pak cik senang saja buatnya. Pak Cik guna buluh, tin minuman serta rotan untuk menghasilkan replika ini dan bagi mencantikkan lagi hasil kerja, kami beli dan tambahkan pelita yang terdapat di pasaran," katanya.
|
ultra78 posted on 29-7-2014 09:50 AM
Pasan pelita 10 mlm terakhir ni bukan ajaran agama. Ini budaya melayu. Mungkin juga budaya ini timbu ...
ultra78 posted on 29-7-2014 09:50 AM
Pasan pelita 10 mlm terakhir ni bukan ajaran agama. Ini budaya melayu. Mungkin juga budaya ini timbu ...
nagapompuan posted on 29-7-2014 11:23 AM
Pada ambo, cantik jah. Apa salah tradisi jaman dedulu dijaga. Abih sume nak persoal ikut agama buday ...
nagapompuan posted on 29-7-2014 11:27 AM
Anggap adjalah tradisi ini kerna jaman dulu dop ada lampu jalan.
Jadi kita teruskan sebagai ken ...
ADVERTISEMENT