Exco Kerajaan Negeri Perak, Datuk Samsudin Abu Hasan berkata, sekiranya perkara itu terjadi sekalipun, kerajaan sentiasa mempunyai mekanisme terbaik dalam menangani masalah itu. Katanya, alasan peniaga untuk menaikkan harga kerana tidak mendapat untung adalah tidak munasabah kerana kerajaan telah menetapkan harga siling kepada pemborong dan mereka perlu mematuhi harga ditetapkan. “Kerajaan telah menetapkan harga RM 24 kepada pemborong dan harga runcit pula adalah RM 26. Jadi, mustahil jika peniaga kata mereka tidak mendapat untung. “Sekiranya peniaga membeli dengan harga mahal daripada pemborong, kita minta mereka simpan resit dan kemukakan kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan diambil terhadap pemborong. “Jangan risau dengan khabar angin kenaikan harga daging segar kerana kerajaan sentiasa mempunyai cara tersendiri untuk menyelesaikan perkara tersebut,” katanya. Beliau mengulas isu tersebut dalam sidang media selepas merasmikan Pemantauan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) Hari Raya Aidilfitri bagi negeri Perak di Pasar Besar Kuala Kangsar, semalam. Dalam perkembangan lain, Adun Bukit Chandan, Maslin Sham Razman meminta kerajaan supaya menambah stok daging segar dalam negara bagi mengelakkan kenaikan harga. “Untuk barangan lain memang tiada masalah, cuma daging segar sahaja yang menjadi rungutan orang ramai. Harap kerajaan dapat cari idea penyelesaian terbaik,” katanya.
|
ADVERTISEMENT