OH MY ENGLISH! MUSIM KETIGA TAMPILKAN GABUNGAN MANTAP SEPERTI NADIYA NISAA, OGY DAN CARMEN SOO Musim baru padat dengan hiburan dan pendidikan serta watak dan jalan cerita yang segar bakal menemui penonton pada 18 Mei ini! Kuala Lumpur, 9 Mei 2014 – Berikutan kejayaan siri Oh My English (OME!) Musim Pertama, Musim Kedua, Oh My Ganu dan OME! Hello America, siri hiburan berpendidikan popular ini kembali dengan Oh My English! Musim Ketiga yang akan bersiaran pada setiap hari Ahad bermula dari 18 Mei 2014, jam 9.00 malam secara eksklusif di Astro TVIQ (saluran 610) dan siaran serentak dalam definisi tinggi (HD) di Astro Maya HD (saluran 135). Musim terbaru ini bakal menyaksikan para pelajar kelas 3 Merah telah meningkat setahun dewasa tatkala mereka memulakan semester yang baru di dalam kelas 4 Merah. Watak-watak kegemaran anda seperti Jibam (Akhmal Nazri), See Yew Soon (Roax Tan), Mazlee (Zhafir Muzani), Anusha (Kaameshaa a/p Ravindran) serta guru-guru kesayangan mereka Mr. Henry Middleton (Zain Saidin) dan Cikgu Ayu (Tiz Zaqyah) akan kembali dalam musim ini dengan kisah serta jalan cerita yang lebih menyeronokkan. Para peminat siri ini pastinya teruja tatkala SMK Ayer Dalam akan menerima barisan pelajar, guru dan seorang pegawai keselamatan yang baru. OME! Musim Ketiga akan menampilkan barisan bakat baru dan juga veteran yang sangat berpengalaman dalam industri hiburan. Pelakon terkenal yang telah merangkul pelbagai anugerah, Fauziah Ahmad Daud atau lebih mesra dengan panggilan Ogy akan bergandingan dengan seorang pelakon yang melonjakkan namanya menerusi lakonan mantap dalam drama ‘Adam & Hawa’ iaitu Nadiya Nisaa. Seorang pelakon jelita tanah air yang berjaya mencipta nama menerusi lakonan beliau dalam beberapa siri drama Filipina iaitu Carmen Soo juga akan turut serta di dalam siri ini bersama pelakon komedi yang hebat iaitu Rahim R2. OME! Musim Ketiga juga akan memperkenalkan bakat-bakat baru yang semakin meningkat naik antaranya Amyra Rosli, Shafiq Kyle, Juzzthin dan juga Sherry Alhadad yang pastinya akan menyuntik kemeriahan dengan telatah dan gelagat mereka di samping mengetengahkan elemen pendidikan dan juga pengajaran nilai-nilai murni yang menjadi teras kepada rancangan ini. Selain daripada barisan pelakon utama yang sedia ada, terdapat ramai selebriti popular tanah air yang akan turut membuat penampilan khas sepanjang musim baru ini antaranya Faizal Hussein, Hans Isaac, Rashidi Ishak, Waris dan Bront Palare yang pastinya akan menggamatkan lagi suasana. Pastikan anda terus menonton kesemua 23 episod untuk musim ketiga ini bagi mengetahui watak yang akan dibawa oleh barisan pelakon baru dan penampilan khas ini. Janji kami untuk membekalkan rangkaian program televisyen yang relevan dan menarik telah terbukti menerusi penyiaran siri Oh My English! yang bukan sahaja menghiburkan malah menjadi sebuah alat bantuan pembelajaran Bahasa Inggeris di luar bilik darjah yang berkesan. Berbeza dengan musim-musim sebelumnya, musim terbaru ini bukan sahaja padat dengan elemen jenaka dan pendidikan, malah akan turut diselitkan dengan pelbagai nilai murni yang boleh dicontohi. Kombinasi pelbagai watak baru, drama, jalan cerita yang lucu dan kandungan pengajian Bahasa Inggeris yang mantap pastinya akan menjanjikan pengalaman tontonan yang unik, berbeza serta menyeronokkan di kaca televisyen anda. Musim ini juga akan membawa topik-tpoik menarik yang selari dengan peristiwa dan situasi semasa seperti laman sosial, Instagram, Piala Dunia dan juga hari kemerdekaan Malaysia di mana dalam episod Merdeka ini mereka akan merentasi masa dan kembali ke tahun 1957 lantas bertindak seakan-akan masyarakat yang hidup di era tersebut.
|
jue7269 posted on 11-5-2014 11:25 AM
Nadiya Nisaa jd murid??? X de pelakon yg muda lg ke tuk berlakon watak murid ting 4? Igtkan dia jd c ...
moller posted on 23-5-2014 10:59 AM
betul tu kak jue....
bkn nadiya nissa je x sesuai...syafiq kyle tu pun x sesuai jd bdk sekolah
...
ADVERTISEMENT