SEMAKIN dekat tarikh pelancaran, semakin banyak pula gambar Proton Perdana 2016 bocor. Berlainan dengan artikel terdahulu, kali ini kami menampilkan gambar Proton Perdana 2016 berwarna putih. Nampak menarik?
Nampaknya tiada rahsia lagi dengan Proton Perdana 2016 memandangkan sudah banyak gambar yang bocor. Sekarang cuma tunggu tarikh pelancaran.
Tetapi sehingga ke hari ini, pihak Proton masih belum menghantar sebarang jemputan pelancaran Proton Perdana baharu biarpun kami menjangkakan ia akan dilancarkan pada Mei 2016. Mungkin jangkaan kami sekali lagi meleset.
Mungkin juga Proton mahu memastikan Perdana 2016 betul-betul bersedia dengan tahap kualiti terbaik. Tidak mengapa, kita tunggu lagi!
Bagi anda yang tidak tahu, Proton Perdana 2016 didatangkan dalam dua varian, 2.0L dan 2.4L.
Aspek prestasi, Proton Perdana 2016 buat masa ini akan menggunakan enjin Honda Accord generasi ke-8. Manakala penggunaan enjin baharu iaitu Petronas NE01 pula dijangka akan dipasang secara berperingkat pada 2017.
Bagi varian 2.4L, ia akan dipadankan dengan kotak gear transmisi automatik 5-kelajuan yang mampu menghamburkan kuasa sebanyak 177hp dan tork puncak 222Nm.
Selain putih, Proton Perdana 2016 turut menampilkan lima lagi warna menarik iaitu, Kelabu Graphite, Perak Sterling, Merah Ruby, Hitam Midnight dan Emas Citrine.
Sama seperti saya maklumkan sebelum ini, kita tunggu sajalah pelancarannya nanti. Cuma untuk Proton, pastikan produk anda benar-benar bersedia, barulah lancar. Biar lambat, asalkan produk anda terbaik.
|