Nazim lelaki terbaik untuk saya – Bella Dally
Rasa selamat dengan sikap tegas tunang
17 Mac 2016 4:00 PM
KISAH cinta pasangan ini sudah kedengaran sejak dari tahun 2013, bagaimanapun tidak lama selepas itu khabarnya mereka sudah berpisah. Namun siapa sangka, November lalu pelakon Bella Dally atau nama sebenarnya Nabilah Ali Dally, 26, membuat kejutan kerana sudahpun bergelar tunang kepada Nazim Othman. Sebenarnya itu antara rentetan ringkas hubungan pasangan yang pada Hits cukup kemas menyimpan kisah cinta.
Bukan sahaja bijak merahsiakan hubungan mereka, tetapi juga pertunangan mereka ini juga hanya diketahui peminat selepas Nazim mengaku sudah bertunang di laman sosial miliknya. Mempunyai alasan sendiri mengapa mereka memilih untuk tidak berkongsi terlalu banyak tentang hubungan ini, jelas Bella, dia dan Nazim hanya memilih cara yang cukup selesa buat mereka.
Hits: Kehidupan terkini Bella selepas bergelar tunangan orang? Bella: Semuanya masih sama, kalau ikut berjaga-jaga sejak dari dahulu lagi saya sangat menjaga soal itu. Bagi saya tiada apa yang terlalu berbeza, sebab apa yang penting kami selalu berdoa agar dipermudahkan segala urusan.
Kalau dilihat Bella dan Nazim memang agak berahsia soal hubungan dan kisah pertunangan ini, kenapa ya? Bukankah lebih elok begitu, maksudnya tidak perlu kami terlalu menunjuk soal ini. Apa yang boleh dikongsi, hubungan saya dan Nazim begitu istimewa dan kami lebih senang ianya terbit antara kami sahaja dan tidak terlalu berkongsi. Lagipun sekarang baru bertunang, jadi kami lebih senang begini.
Apa istimewanya Nazim di mata Bella?
Dia mempunyai ciri-ciri seorang suami yang saya idam, selain mempunyai sikap yang penyayang, Nazim juga sebenarnya adalah seorang yang tegas. Jadi saya suka dengan sikap dia, sebabnya dengan rasa selamat itu saya percaya dia mampu membentuk saya.
Kalau dilihat, macam tidak lama lagi akan disatukan, jadi bila tarikh perkahwinan kamu berdua? Insya-Allah tidak lama lagi, jangan risau kalau sudah selesai semuanya kami akan kongsi dengan orang lain.
Boleh kongsi, impian perkahwinan Bella? Saya suka majlis yang ringkas dan bermakna, maksudnya biarlah majlis perkahwinan itu nanti boleh memberi kegembiraan kepada kami dan keluarga. Apabila ahli keluarga gembira, sudah pasti saya gembira. Janganlah bandingkan majlis saya kelak dengan artis lain kerana setiap orang ada cita rasa masing-masing. Soal tajaan buat masa ini masih belum ada lagi, tetapi saya tidak fikirkan soal itu sangat.
Sibuk bercerita soal cinta dan kahwin, Bella nampaknya kini macam sudah lama tidak muncul di kaca televisyen, sudah tidak berlakon? Saya masih suka berlakon dan akan terus berlakon, tetapi buat masa sekarang perlu buat saya sendiri memilih watak yang ditawarkan. Saya tidak kisah menolak tawaran berlakon sekiranya apa yang diberi itu tidak memberi kepuasan kepada saya.
Saat ini apa watak impian Bella?
Sebenarnya saya ingin sekali membawakan watak antagonis, tetapi keadaan bertudung kini kena betul-betul tengok dahulu sebelum boleh setuju. Saat ini juga saya perlu membuktikan kemampuan sebagai pelakon, jadi sedikit sebanyak watak yang diterima perlu menguji bakat yang saya miliki.
Tidak terlalu sibuk berlakon, apa fokus Bella sekarang? Merupakan tahun kedua menjadi duta kepada tudung jenama Ariani, ternyata komitmen saya itu sangat berat di sini. Kalau ikutkan saya juga mempunyai sesi fotografi setiap bulan, jadi jadual itu agak padat juga.
- See more at: http://www.utusan.com.my/hiburan ... thash.N4m0johK.dpuf
|