Pemindahan rahim pertama di AS gagal
Washington – Pemindahan rahim pertama dilakukan di Amerika Syarikat gagal selepas penerima mengalami komplikasi yang memaksa doktor mengeluarkan organ itu. “Kami dukacita memberitahu bahawa pesakit kami, Lindsey, baru-baru ini mengalami komplikasi tiba-tiba yang membawa kepada pembedahan membuang rahim yang dipindahkan kepadanya,” kata Klinik Cleveland dalam kenyataan yang tidak mendedahkan nama penuh pesakit.
Beliau semakin pulih dan sembuh selepas pembedahan membuang organ itu, tambah kenyataan itu tanpa mengulas lanjut.
Pembedahan pemindahan, yang berlanjutan selama sembilan jam, dilakukan pada 25 Februari lalu. Doktor mengumumkan beberapa hari kemudian prosedur itu berjaya.
Isnin lalu, pasukan pakar bedah mengadakan sidang akhbar menampilkan penerima berusia 26 tahun itu kelihatan tersenyum.
Hospital itu berkata, ia masih mengenal pasti sebab kegagalan prosedur berkenaan, menambah percubaan klinikal yang menyasar melakukan pemindahan rahim kepada 10 wanita, akan diteruskan.
Doktor di Universiti Gothenburg di Sweden adalah yang pertama berjaya menjalankan pembedahan rahim pada 2013. Penerima melahirkan bayi pertama dikandung dalam rahim dipindahkan pada September 2014. – AFP
|