Oleh Izzah Abbasy
Pada penghujung bulan Januari dan Februari 2016 yang lepas, kita berpeluang melihat satu susunan planet-planet yang indah pada sekitar waktu Subuh. Walaupun sebelum ini pernah berlaku himpunan antara planet Zuhrah dan Musytari, kali ini ia agak istimewa, kerana kita akan dapat menyaksikan sehingga 5 buah planet kesemuanya!
Kali terakhir ini berlaku ialah hampir sedekad yang lalu.
Kelima-lima planet tersebut ialah Utarid, Zuhrah, Zuhal, Marikh dan Musytari. Kebetulan pula inilah planet-planet yang dapat dilihat dengan mata kasar dengan mudah, dan telah dicatatkan dalam pemerhatian tamadun manusia sejak ribuan tahun dahulu.
Seperkara yang menarik mengenai planet-planet ini ialah jaraknya dari Bumi dan cahayanya nak sampai ke kita berbeza-beza.
Imej ini diambil oleh Eliot Herman di Tucson, Arizona pada 8 Februari 2016.
Utarid – Ia merupakan cahaya 7.2 minit dahulu.
Zuhrah – Cahayanya ialah 11 minit dahulu.
Zuhal – Kedudukan jauh sedikit, cahaya untuk sampai mengambil masa 87.5 minit dahulu.
Marikh – Cahayanya ialah 11.5 minit dahulu.
Bulan – Paling hampir dengan kita, 1.3 saat dahulu.
Musytari – Cahayanya ialah 39 minit dahulu.
Adakah ia boleh dilihat dengan mata kasar?
Ya, fenomena jujukan lima planet ini boleh dilihat dan sesuai untuk dilihat menggunakan mata kasar sahaja. Anda tidak perlu menggunakan teleskop untuk melihat fenomena jujukan.
Kenapa planet-planet ini tersusun seperti dalam satu garisan?
'Garisan' itulah yang dipanggil ecliptic, garisan satah laluan orbit-orbit planet ketika ia mengelilingi matahari. Di situ jugalah terletaknya 12 buruj zodiak, yang mana ia juga adalah laluan matahari sepanjang tahun.
Adakah fenomena ini memberi sebarang kesan terhadap cuaca bumi?
Tidak sama sekali. Kesemua planet ini berada amat jauh dari bumi, dan tidak berupaya memberi sebarang kesan kepada kita di bumi. - CARI Infonet
|