|
Oleh Izzah Abbasy
Rumah atau penginapan ibu bapa biasanya menjadi pilihan utama untuk mengadakan majlis perkahwinan. Jika di kampung, amalan ini masih diadakan seperti biasa. Ada juga yang menjadikan dewan sekolah atau dewan orang ramai sebagai tempat melangsungkan hari bahagia.
Namun, jika di bandar trend menyewa hotel adalah suatu kepastian bagi mereka yang inginkan pakej mahal dan gaya moden serta kemudahan yang esklusif.
Terkini, trend menyewa banglo atau homestay semakin mendapat tempat kerana pemilihan banglo yang dihiasi perabot mewah, dekorasi dalaman moden serta fasiliti lengkap menjadi pilihan pasangan yang ingin melangsungkan majlis perkahwinan sekarang ini.
Malah penyewaan sesetengah banglo ini di bawah konsep homestay membantu mengurangkan kos penyewaan bilik hotel bagi anggota keluarga yang datang dari luar kawasan.
Bagi pereka grafik Mohamad Faiz Sazalli, 29, beliau memilih untuk menyewa banglo di Taman Tasik Titiwangsa di sini sebagai lokasi majlis perkahwinannya pada 2013.
Tiada kemudahan sesuai untuk mengadakan perkahwinan di tempatnya sendiri kerana beliau tinggal di pangsapuri.
Majoriti yang berkongsi pengalaman amat berpuas hati dengan setiap pakej yang ditawarkan seperti banglo yang disewanya itu menawarkan harga pakej berjumlah RM49,000 bagi 1,000 tetamu, iaitu termasuk makan dan minum serta khemah dan kerusi untuk tetamu.
Ada sesetengah banglo menawarkan pakej yang bernilai RM40,000 termasuk sewa khemah, meja, PA sistem, katering bagi 1,000 tetamu.
Jika di Genting Highland, terdapat banglo yang tidak menyediakan pakej. Alun-Alun Resort Sdn Bhd yang mempunyai dua banglo di Genting Highlands, Pahang turut menyewa banglo untuk majlis perkahwinan.
Banglo dua tingkat itu menampilkan ciri-ciri Eropah daripada rekabentuk banglo dan hiasan dalaman hinggalah laman yang indah, disewa dengan harga bermula RM2,500 untuk satu malam. - CARI Infonet |
|