CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1401|Reply: 0

Kekanda M Indira Gandhi

[Copy link]
Post time 11-1-2016 04:28 PM | Show all posts |Read mode
Kekanda M Indira Gandhi

Faisal Tehrani     


  

Kau mesti beroleh keadilan.
Sayang sekali, mereka yang menafikan kasih sayangmu sebagai ibu tidak mengetahui betapa kemerdekaan beragama pernah diperkenalkan dan dilaksanakan di India ketika era Moghul, yang mana Maharaja Akbar telah membuat satu dikri diraja yang penting mengenainya.
Ketika tahun-tahun 1591 dan 1592 itu, di India, bukan sahaja penganut agama selain Islam diizinkan beribadat secara setara, enakmen tentangnya juga digubal. Malahan penukaran agama kanak-kanak khusus ketika berlaku perceraian antara ibu-bapa adalah dilarang, dan kanak-kanak dibenarkan untuk memilih.
Meskipun Akbar dalam banyak hal memihak kepada generasi tua berbanding generasi muda dalam hal memilih teman hidup, toleransi yang terpancar dalam enakmen atau dikri diraja Akbar adalah luar biasa memandangkan ketika itu Eropah sedang bergelumang dengan kepayahan untuk meraih dan mengecap hak asasi manusia.
Barangkali rekod bersejarah mengenai hak asasi manusia ini, khusus tentang tolak ansur Akbar dalam kemerdekaan beragama dibayangi oleh sudut pandang yang lebih autoritarian daripada sarjana Barat. Maka orang merasakan, Islam tidak pernah memberikan pilihan sehingga hak untuk menentukan agama seorang anak di bawah umur dijadikan masalah.
Kekanda M Indira Gandhi, mereka mengatakan bahawa dalam Islam, ulama adalah pewaris Nabi Muhammad. Biar aku memberitahumu apa yang ulama Melayu pernah katakan tentang penukaran agama anak-anakmu.
Satu ketika dahulu, ulama pondok dalam kalangan mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah sering dirujuk. Karangan Tok Guru dengan kitab Jawi bercetak kekuningan akan digali dan dijadi pedoman. Hari ini tidak lagi, semuanya harus dari Arab Saudi.
Geruh dan celaka kejengkelan itu melandamu juga nampaknya.
Salah satu kitab Jawi yang relevan untuk kita rujuk dalam hal melibatkan anak-anakmu itu adalah sebuah kitab tafsir yang sangat terkenal, khusus di negeri Kedah. Nama kitab itu 'Tafsir Nurul Ihsan'.
Ia adalah satu-satunya tafsir sempurna daripada seorang ulama Melayu. Pengarangnya, Muhamad Said Omar adalah seorang kadi bagi daerah Jitra. Beliau dilahirkan pada tahun 1854 di Kampung Kuar, Jerlun, dan dikenal orang sebagai Tok Lebai. Tafsir ini pernah dicetak beberapa kali dan antara edisi yang terkenal ialah edisi 1970 oleh Maktabah Dar al Maarif, Pulau Pinang.
Di tanganku kekanda M Indira, adalah edisi 1349 Hijri, cetakan Muhamad Ali Bin Muhamamd ar Rawi, No 83 Achen Street, Pulau Pinang. Muhamad Said menulis tafsir ini antara bulan Januari 1925 dan menyiapkannya pada 1 Oktober, 1927. Ia dikatakan, pertama kali dicetak pada tahun 1934.
Tatkala aku mendengar perkhabaran mengenai dirimu dan anak-anak, aku sedang membaca 'Tafsir Nurul Ihsan' pada ayat 256 surah al Baqarah:
"Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui' apabila aku dikhabarkan berita mengenai anak-anakmu"
Apakah yang ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah, sang Muhamad Said Omar katakan perihal tidak ada paksaan dalam agama?
Kekanda M Indira, begini, kata almarhum Muhamad Said:
“Laaa ikraaha fid deeni, Tiada kerasi pada agama atas masuknya, qat tabiyanar rushdu minal ghayy, sesungguhnya telah tiada iman Islam daripada kafir turun ini ayat pada Abu Husain Ansar ada baginya dua anak laki-laki jadi nasari menghendaki ia Islam keduanya dengan keras dan menegah keduanya hingga sampai pada Nabi shallahualaihiwassalam maka firmannya, Laaa ikraaha fid deeni, maka tinggal ia akan keduanya, famany yakfur bit Taaghooti, maka barangsiapa yang kafir dengan taghut iaitu syaitan atau asnam berhala, wa yu'mim billaahi, dan beriman ia dengan Allah, faqadis tamsaka bil'urwatil wusqaa lan fisaama lahaa, maka sungguh telah bergantung ia dengan tali yang kukuh tiada putus baginya, wallaahu Samee'un 'Aleem, dan bermula Allah Taala itu Tuhan yang amat mendengar bagi perkataan lagi perbuatan.”
Muhamad Said Omar menyatakan kisah atau asbabun nuzul di sebalik penurunan ayat ini dengan merujuk keadaan yang menimpa Abu Husain Ansar. Insiden penurunan ayat suci al-Quran ini dapat ditemukan juga dalam Al-Wahidi yang meriwayatkan daripada Al Suddi dan Masruq, perihalan anak Abu Husain Ansar yang menganut agama Kristian “jadi nasari”. Usaha beliau untuk menuntut anak-anaknya kembali ke Islam menjadi sia-sia justeru ia menemui Nabi Muhammad saw memohon bantuan.
Kata Al-Suddi: “Ayat ini turun tentang seorang lelaki dari kaum Ansar bernama Abu'l-Husayn. Lelaki ini mempunyai dua orang anak. Pernah terjadi beberapa pedagang dari Shams datang ke Madinah berjualan. Ketika para pedagang tersebut hendak meninggalkan Madinah, kedua anak Abu'l-Husayn mengajak mereka untuk masuk Nasrani.
“Para pedagang ini pindah keyakinan menjadi Nasrani dan kemudian meninggalkan Madinah. Abu'l-Husayn menyampaikan apa yang telah terjadi ini pada Rasullullah saw. Nabi meminta memanggil kedua anaknya. Kemudian Allah yang Maha Tinggi mewahyukan (Tidak ada paksaan dalam agama…)."
Kata Masruq: “Seorang lelaki dalam kalangan Ansar, dari Bani Salim Bani 'Awf, punya dua anak yang pindah Nasrani sebelum kebangkitan Nabi. Kedua-dua anak ini datang ke Madinah bersama-sama sekelompok pedagang Nasrani yang berjualan makanan. Ayah mereka pergi kepada mereka dan menolak meninggalkan mereka, berkata: 'Demi Allah! Aku tak akan meninggalkanmu hingga engkau menjadi Muslim'.”
“Mereka menolak menjadi Muslim dan mereka semua pergi ke Rasullullah, menyelesaikan perselisihan. Sang Ayah berkata: 'Wahai Rasullullah! Bagaimana boleh ku tinggalkan bahagian diriku masuk neraka sementara aku hanya duduk dan menonton?' Allah Yang Mulia dan Yang Paling Mulia kemudian mewahyukan (Tidak ada paksaan dalam agama…) setelah ia lepaskan mereka pergi".
Laaa ikraaha fid deeni mengutus satu mesej jelas; tiada paksaan untuk mempercayai dan mengimani ketauhidan Allah. Muhamad Said Omar tegas mengulas hal tersebut dengan mengatakan ibu bapa tiada hak untuk memaksakan Islam sebagai keimanan buat anak-anak.
Dalam surah lain, Muhamad Said Omar menyatakan secara tegas bahawa Nabi Muhammad adalah utusan Allah dan pemberi ingat, justeru tiada kuasa atau keupayaan memaksa mereka yang enggan percaya untuk beriman dengan Islam.
Ketika menafsir ayat Surah Al-Ghaasyiyah ayat 21 dan 22; Muhahamad Said Omar merakamkan, "Oleh itu berikanlah sahaja peringatan (wahai Muhammad, kepada manusia, dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya), kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan; Bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka (menerima ajaran Islam yang engkau sampaikan itu)".
Muhamad Said Omar merakamkan; “maka peringatlah olehmu ya Muhammad akan mereka itu segala nikmat Allah dan dalil tauhidnya. Hanya engkau itu orang yang mengingat mengajar sahaja. Tiada engkau atas mereka itu dengan mengerasi yang tiada menurut ajaran ini dahulu daripada suruh perang”.
Hakikat bahawa Muhamad Said Omar memesan yang Nabi itu hanya “mengingat mengajar sahaja” atau “pemberi ingat, pendidik, dan pencerah” menjelaskan yang Islam menyediakan kebebasan beragama dan peluang untuk memilih kepercayaan masing-masing.
Al-Quran menyatakan peranan seseorang Islam adalah untuk menyampaikan mesej Islam, bukan memaksakan; ini terkandung dalam surah Qaaf ayat 45; "Kami lebih mengetahui apa yang mereka katakan (dari berbagai tuduhan terhadapmu wahai Muhammad), dan engkau bukanlah seorang yang berkuasa memaksa mereka (supaya masing-masing beriman). Oleh itu, berilah peringatan dengan Al-Quran ini kepada orang yang takutkan janji azabKu."
Muhamad Said Omar menyatakan di dunia ini tersedia pilihan dan penalti hanya ada di akhirat; “Maka peringat olehmu dengan ajaran Qur’an itu akan mereka yang takut akan janji seksa aku mereka itu segala mukmin adapun lain daripada mereka itu mula dibalas dengan yang mustahak atas mereka itu daripada iqab dan azab.”
Kekanda M Indira, di awal aku mengatakan bahawa Maharaja Akbar di India telah membuat satu dikri diraja yang penting sewaktu tahun-tahun 1591 dan 1592. Ia bukan sahaja keizinan untuk penganut agama selain Islam beribadat tetapi juga terdapatnya enakmen agar penukaran agama kanak-kanak khusus ketika berlaku perceraian antara ibu-bapa adalah dilarang, dan kanak-kanak dibenarkan untuk memilih.
Sayang sekali kekandaku, kita hidup dalam tahun 2015 dan 2016. Maharaja Akbar tentu dianggap kolot. Pemancung kepala di Riyadh tentu dianggap lebih mulia dan moderat. Kita juga tidak hidup di antara tahun-tahun 1925 sehingga 1934 tatkala Muhamad Said Omar mengajarkan 'Tafsir Nurul Ihsan' di masjid-masjid di Kedah, Pulau Pinang dan utara Perak. Qadi itu seorang Sunni, menjadi Sunni tidak trendy, menjadi Salafi progresif jauh lebih berfesyen.
Sekarang telah banyak berubah. Aku simpati denganmu kekandaku. orang telah jauh dari Nabi Muhammad. Dan malang, kerana keliru, mereka percaya 'jauh' itu adalah 'dekat' dengan Islam.



FAISAL TEHRANI felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.




Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-4-2024 01:24 PM GMT+8 , Processed in 0.065806 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list