KUALA LUMPUR: Pelaksanaan sekolah satu aliran dilihat sebagai satu cara terbaik menyelesaikan masalah komunikasi antara pelbagai bangsa di Malaysia. Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah, sekolah satu aliran merupakan langkah paling tepat untuk menyelesaikan masalah ini.
"Kebanyakan pegawai kerajaan kini sukar untuk bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris dengan baik. Sebab itu beta tidak bersetuju dengan kewujudan tiga jenis sekolah (Kebangsaan, Cina dan Tamil). "Kini ada pelajar Cina dan Tamil tidak tahu bertutur dalam bahasa Melayu dan tentunya, pelajar Melayu tidak boleh bertutur bahasa Inggeris," titah baginda dipetik The Star.
Tambah baginda, Malaysia tidak mengikuti arus pembangunan antarabangsa dimana masyarakat belia lebih fasih bertutur dalam bahasa Inggeris berbanding warga tua sepertimana di Perancis, Sepanyol dan China.
"Di Malaysia ianya terbalik. Saya sangat terperanjat. Jadi, bagaimana kita perlu perbaiki situasi ini? "Tiada siapa perlu politikkan isu pelajaran dan isu kesihatan. Saya sangat risau dengan tahap pendidikan di negara ini. Tolong sedar!" tegas Sultan Ibrahim.
Menyentuh isu pengharaman rokok elektronik atau vape, baginda menjelaskan, Johor mengharamkan aktiviti tidak sihat itu selepas melakukan penyelidikan mendalam sambil menegaskan tabiat itu bertentangan dengan adat masyarakat.
"Beta kecewa dengan pihak berkuasa kerajaan negeri dan kerajaan pusat yang tidak boleh membuat keputusan berkaitan isu ini. Mereka memanjangkan isu ini dan ada ahli politik membuat kenyataan bodoh mengatakan vape tidak perlu diharamkan kerana jutaan undi akan hilang dan kepentingan masyarakat bumiputra akan terjejas.
"Beta tahu apa yang terbaik dan beta tetap bertegas pada 1 Januari tahun depan semua perkara ini (penjualan vape) perlu dihentikan," titah baginda lagi. -mD
|