Buat Anda Yang Ingin Berjimat, Jom Serbu Gerai ‘Nasi Kaya’ Ni Nov 26, 2015 423
31700
KEBIASAANNYA, sepinggan makanan tengah hari yang berlauk ayam, ikan dan sayur adalah dalam lingkungan RM6 ke RM7.
Itulah hakikat yang dilalui sekarang di mana harga kos semakin meningkat dan secara tidak langsung kita perlu ‘hadap’ juga.
Namun, kisah orang kelainan upaya (OKU) di Perak yang menjual sebungkus nasi dengan harga yang begitu murah amat menarik perhatian kami.
Mohammad Farul Mohammad, 37 tahun; yang menjalankan perniagaan ‘Nasi Kaya’ dengan harga RM3 sebungkus membuatkan gerainya tidak putus-putus dikunjungi pelanggan.
Tak menang tangan dibuatnya!
Disebabkan harganya yang sangat murah, ramai pelanggan yang sanggup beratur selama 20 minit semata-mata mendapatkan sebungkus nasi istimewa ini yang terletak di tepi jalan di Jalan Pari, Manjoi.
Apa yang istimewa mengenai nasi kaya selain harganya yang murah? Ini rahsianya…
“Saya belajar melalui Internet. ‘Guru’ saya itu bagi resepi ikut sukatan yang betul. Apa yang menarik, semua masakan ini jika pelanggan rasa manis, itu adalah manis madu, bukannya gula.
“Kadang-kadang saya tambah sedikit bahan-bahan lain yang dibenarkan oleh guru yang mengajar saya itu,” katanya yang dipetik daripada laporan portal Perak Silver Youth.
Orang ramai beratur bagi mendapatkan Nasi Kaya.
Menurut Farul, dia sebelum ini merupakan seorang pensyarah Teknologi Maklumat di sebuah kolej swasta, namun terpaksa berhenti akibat masalah penglihatan penyakit strok dalaman (lubang kecil pada otak).
Kekurangan yang dialami sejak 2013 itu tidak mematahkan semangatnya, malah berkat sokongan keluarga dan rakan-rakan yang prihatin, dia membuka perniagaan Nasi Kaya ini.
Orang ramai sendiri mempunyai pilihan untuk membeli Nasi Kaya ini sama ada Nasi Kaya RM3 (dua jenis lauk), Monster Pack (empat jenis lauk) atau Monster Pack Special (5 jenis lauk).
Setiap set hidangan malah akan disertakan sekali bersama-sama dengan sayur dan papadom.
Walaupun ada yang berpendapat Nasi Kaya yang dijualnya terlalu murah, namun menurut Farul dia masih lagi memperoleh keuntungan walaupun sedikit. – MYNEWSHUB.CC
|