PETALING JAYA: Pemuda Pas menegur stesen radio, HOT FM, kerana menyiarkan program bersama doktor sakit puan pada 2 November lalu yang disifatkan tidak memberi manfaat kepada pendengar.
Pengerusi Lujnah Dakwah Dewan Pemuda Pas Malaysia, Hafeez Sabri berkata, isu perbincangan tidak mendatangkan banyak manfaat dan tidak bersifat ilmiah apabila yang ditekankan di dalam segmen pagi ini adalah sekitar ‘ketampanan’ paras rupa dan raut wajah doktor serta respon balas pendengar radio melalui panggilan telefon yang tersasar dari ajaran Islam.
HOT FM menerusi program AM Crew menyiarkan temubual berkenaan sakit puan bersama pegawai perubatan, Dr Shazril Shaharuddin.
Hafeez berkata, isu perbincangan dalam slot ini seakan-akan melupakan aspek hukum-hakam dalam agama dan dikhuatiri ia bakal mengundang petaka dan orang jahil terus merasakan perbuatannya betul.
Ia merujuk komen pemanggil dalam kalangan wanita yang sanggup dan tidak kisah untuk melahirkan anak di hadapan doktor terbabit kerana ketampanannya.
Malah, ada juga pemanggil yang sanggup ‘menempah’ doktor berkenaan untuk bersalin selain menawarkan isteri kedua.
“Islam adalah agama yang sempurna telah mengangkat martabat dan memelihara maruah wanita serta menjaga penganutnya dari terjerumus ke lembah kehinaan.
“Namun reaksi penyampai radio dan pendengar wanita seperti mencampakkan semua kemuliaan tadi dan terjun ke lembah yang hina. Kebanyakan pemanggil umpama sudah tidak ada lagi adabnya sebagai seorang wanita. Atas alasan mahu menceriakan pagi tidak dapat menghalalkan cara kalian.
“Ada yang sudah pasang niat mahu doktor lelaki ini mengendalikan proses bersalinnya. Sedangkan di luar sana, ramai doktor muslimah wanita sedang mempertahankan hak dan aurat wanita ketika bersalin. Bukankah menjaga aurat dari diperlihatkan kepada ajnabi itu sangat mulia di sisi Allah?, tegas Hafeez,
Dia yang juga Timbalan Ketua Pemuda Pas Perak turut menegur Dr Shazril kerana tidak bersikap profesional ketika disoal pemanggil.
“Persoalan ini berkait rapat dengan aurat pesakit yang pada hukum asal melihat aurat bukan mahram adalah haram sama sekali.
“Seorang doktor mukmin sentiasa meletakkan hukum Allah mengatasi segala urusan dan keputusan. Mereka juga sentiasa membimbing pesakit bersama-sama mendekati Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala laranganNya. Agar hasilnya sama-sama beroleh peningkatan Iman dan dilimpahi keberkatan dalam kehidupan,” katanya.
- FMT
|