MIAMI – Pencairan ais di Antartika Barat mencetuskan kebimbangan berikutan paras laut dunia boleh menyebabkan keadaan tidak stabil termasuk boleh membawa kepada peningkatan paras laut sebanyak 3 meter, kata sekumpulan saintis kelmarin.
Penyelidikan yang diketuai penyelidik glasier Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA), Eric Rignot sejak setahun lalu itu turut memberi amaran bahawa ais Antartika telah mencapai tahap penyusutan yang tidak dapat dipulihkan lagi.
Rignot sebelum ini berkata, kadar pencairan itu ‘tidak boleh dihentikan’ sehingga boleh menaikkan paras laut sebanyak 1.2 meter. Kali ini, penyelidik di Institut Penyelidikan Impak Cuaca Potsdam di Jerman menunjukkan kesan jangka panjang di kawasan Laut Amundsen di Antartika Barat. Mereka menggunakan model komputer untuk menunjukkan kesan selepas 60 tahun mengikut kadar pencairan semasa.
“Situasi ini akan menyebabkan lapisan ais Antartika Barat melangkaui batasan kritikal yang akan membawa kepada kemusnahan jangka panjang. “Ini bermakna, keseluruhan lapisan ais itu akan mencair ke dalam laut, menyebabkan paras laut dunia meningkat sekitar 3 meter,” lapor kumpulan itu.
Pemanasan global selama beberapa dekad dikatakan sudah cukup untuk menyebabkan lapisan ais dunia mencair sepanjang tempoh beratus mahupun beribu-ribu tahun akan datang. “Jika ketidakstabilan itu sudah berlaku, peningkatan paras laut sebanyak 3 meter sepanjang beberapa abad hingga kurun berikutnya mungkin tidak dapat dielak­kan lagi,” kata Ketua Penyelidik, Johannes Feldmann. – AFP
- KOSMO
|