Oleh Fyruz Hanna
Berhubung isu panas di Pulau Pinang yang mana larangan untuk menggunakan pembesar suara di luar masjid akan diwartakan, ia sememangnya menyentuh sensitiviti bangsa melayu kerana berkaitan dengan agama rasmi Islam.
Ramai yang mempolitikkan isu ini dan tak kurang juga yang melontarkan emosi membidas larangan yang dikeluarkan di negeri terbabit.
Namun penulis terpanggil untuk menulis seperti yang diperkatakan oleh Prof Madya Dr Mohd Asri Zainal Adibin bahawa Islam membenarkan suara diangkat hanya pada laungan azan.
Tiada nas yang menyuruh manusia untuk menguatkan suara sehingga mengganggu orang lain.
Rasulullah juga pernah menegah sahabat yang membaca Al Quran sebagaimana hadis yang berikut:
“Ketika Nabi s.a.w beriktikaf (beribadah dalam masjid), baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran) sedangkan ketika itu Nabi s.a.w berada di tempat ibadah baginda. Lalu baginda mengangkat langsir dan bersabda: “Ketahuilah setiap kamu bermunajat kepada tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu angkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat” (Riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih).
Janganlah kita mengganggu dengan bacaan yang terlampau kuat kerana kita tak tahu mereka yang mempunyai anak yang kecil, mereka yang mungkin baru pulang kerja (shift malam) dan penduduk bukan islam yang tiada kepentingan untuk bangun awal.
Islam sangat menitik beratkan hidup berjiran dan sangat menjaga adab bermasyarakat, seperti yang pernah disabdakan Rasullullah s.a.w :
"Barangsiapa yang benar-benar beriman kepada Allah s.w.t. dan hari kemudian (Akhirat), maka janganlah mengganggu jirannya dan berpesan-pesan baiklah kamu terhadap jiran" (Riwayat Bukhari)
Nabi Muhammad s.a.w juga pernah bersabda:
Perumpamaan orang mukmin yang membaca Al-Quran bagaikan buah limau, harum baunya dan lazat rasanya".
(HR Al Khamsah)
Ingatlah, sebaik-baik manusia itu adalah mereka yang mempelajari Al- Quran dan yang mengajarkannya. -CARI Infonet. |