BEIJING: Letupan bom di lebih 10 kawasan di selatan wilayah Guangxi mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh nyawa dan lebih 50 yang lain cedera. Letupan bahan api itu berlaku di beberapa lokasi di bandar Liuzhou turut memusnahkan bangunan hospital, pusat membeli-belah, stesen bas, penjara dan kemudahan kerajaan. Polis mengenal pasti lelaki warga tempatan berusia 33 tahun sebagai suspek siri letupan yang bermula pada pukul 3.15 petang dan berakhir pada pukul 5 petang. Agensi Berita rasmi China, Xinhua melaporkan semua mangsa terkorban di lokasi kejadian. "Antara 40 hingga 50 orang dibawa untuk mendapatkan rawatan di sini," kata kakitangan hospital kepada Kyodo News. Pihak berkuasa tempatan bagaimanapun belum mendedahkan motif kejadian yang berlaku sehari sebelum sambutan ulang tahun ke-66 People Republic of China serta bermulanya cuti sempena Hari Kebangsaan negara itu. Guangxi adalah wilayah autonomi bersempadan dengan Vietnam mempunyai populasi etnik minoriti dan menjadi laluan utama untuk kaum Uyghur meninggalkan China secara tidak sah. -mSTAR
|