|
SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo dikejarkan ke Hospital Selayang dekat sini setelah rebah selepas berjoging di kawasan rumahnya di Seksyen 7 di sini, pagi tadi.
Sumber daripada pejabat Mohamad Khir ketika dihubungi memberitahu, dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu, beliau (Dr Mohamad Khir) yang pulang daripada aktiviti itu tiba-tiba terjatuh serta tidak sedarkan diri di rumahnya menyebabkan keluarganya panik dan menghubungi ambulans.
Menurut sumber itu lagi, setelah mendapatkan rawatan di Hospital Selayang, Dr Mohamad Khir kemudiannya dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk pemeriksaan lanjut.
"Setakat 6 petang tadi, keadaan beliau telah stabil dan sudah boleh bercakap namun masih ditahan di wad untuk pemeriksaan lanjut," kata sumber itu di sini.
Esok Mahkamah Persekutuan dilaporkan akan mengumumkan keputusannya mengenai rayuan Mohamad Khir terhadap sabitan kesalahan dan hukuman penjara 12 bulan yang dikenakan terhadap beliau bagi tuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh tanah dan banglo daripada Ditamas Sdn Bhd menerusi pengarahnya Datuk Shamsuddin Hayroni dalam 2007. - Bernama
|
|