Krisis Rumah Tangga, Raja Mukriz Kesal Sikap Teman Sharifah Shahora
Raja Mukriz gembira masalah rumah tangganya dengan Sharifah Shahora dapat diselamatkan.
AMPANG: Pengarah sinematografi, Raja Mukhriz kesal apabila isterinya Sharifah Shahora berdamping dengan sahabat yang berfikiran negatif sehingga menyebabkan pergolakan rumah tangga mereka mengambil masa untuk diselesaikan.
Raja Mukriz atau nama sebenarnya Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin, 43, berkata, sahabat isterinya juga gagal memberi nasihat yang baik untuk merapatkan semula hubungan mereka sebaliknya bertindak meracun fikiran sehingga masalah menjadi bertambah rumit.
“Saya rasa perkara paling bahaya apabila kawan-kawan dia tak support dia untuk melihat masalah rumah tangga kami dapat diselesaikan. Pada saya, kawan-kawan macam ini ialah kawan yang tidak sihat,” ujarnya kepada mStar Online.
Raja Mukriz ditemui pada majlis rumah terbuka Aidifitri anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) di sini pada Selasa.
Ini merupakan pengakuan pertama Raja Mukriz selepas dia bertindak mengunci mulut mengenai masalah rumah tangganya itu.
Pada 2 Jun lalu, Sharifah Shahora membuat pendedahan di laman sosial Instagram dan Twitter mengenai kecurangan suami yang mempunyai hubungan dengan seorang wanita bernama Yanie.
Syukurlah apabila Sharifah Shahora dan Raja Mukriz kembali bahagia.
Perbuatan Raja Mukriz dapat dihidu selepas Sharifah Shahora terbaca beberapa mesej kiriman wanita berkenaan sehingga membuatkan rumah tangga mereka menjadi kontroversi, ibarat retak menanti belah.
Bagaimanapun selepas beberapa minggu kejadian itu, kehancuran hati Sharifah Shahora terubat selepas berjaya dipujuk suami.
Dalam pada itu Raja Mukriz telah menasihati isterinya agar membataskan persahabatan dengan individu yang disifatkannya sebagai rakan yang tidak sihat.
Malah Sharifah Shahora sendiri menyedari perkara itu selepas mereka berbincang bagi mencari jalan menyelesaikan masalah rumah tangga itu.
Ditanya apakah pengajaran selepas kejadian itu Raja Mukriz berkata, ia memberi hikmah tersendiri kerana mereka sebenarnya saling perlu memerlukan dalam hidup selepas lapan tahun berkahwin.
Ketika krisis rumah tangga itu ujar Raja Mukriz, dia telah berusaha memujuk Sharifah Shahora dengan memberikannya bunga yang diletakkan di atas meja bersama sekeping nota tertulis “esok bunga ini akan kembang.
Keluarga mereka juga kata Raja Mukriz turut memberi sokongan untuk melihat hubungan mereka kembali jernih yang akhirnya perkara baik itu mendatangkan hasil.
"Saya bukan seorang yang romantik. Masa nak pujuk dia, saya bagi bunga padanya yang diletakkan atas meja bersama sekepimng nota dengan harapan hatinya sejuk. Syukurlah… akhirnya masalah rumah tangga kami dapat diselesaikan dan hubungan kami menjadi bertambah baik," katanya.
Sementara tu dalam perkembangan lain Raja Mukriz turut tersenarai dalam top-5, Festival Filem Malaysia ke 27 (FFM 27) yang akan berlangsung pada 5 September depan bagi kategori Pengarah Harapan menerusi filem Ophilia.
Dia tidak menyangka mendapat peluang itu selain menganggap ia adalah rezeki selepas penyatuan semula kasih sayangnya dengan isteri.
“Semua calon dalam kategori ini hebat-hebat belaka dan saya syukur dengan pencalonan ini,” ujarnya.
Sharifah Shahora dan Raja Mukhriz mendirikan rumah tangga pada 26 Oktober 2008 dan mempunyai dua orang anak masing-masing berusia tiga dan tujuh tahun.
|