|
8 perkara yang membuatkan zaman bujang anda penuh indah dan bermakna. “Aku bosan!!” jerit Ifti Liyana tiba-tiba, apabila mengenangkan nasibnya yang sudah lama membujang. – petikan dari Filem Manisnya Cinta di Cappadocia.
TIdak dinafikan, hidup bujang ni memang kadang kala membosankan, terutama buat si gadis yang bertahun-tahun setia menunggu putera pujaan datang masuk meminang. Sunyi. Lagi-lagi disaat kawan-kawan yang lain semua sudah berkahwin, kita tinggal seorang diri. Tambah ‘stress’ lagi bila di ‘wall’ Facebook kita penuh dengan gambar-gambar kawan yang teruja berkongsi kebahagiaan hidup berumah tangga. Yang sudah ada anak, teruja mengemaskini perkembangan anak-anak pula. Kita? Akan jadi orang pertama yang ‘like’ gambar atau post itu walaupun pedih dan perit dihati #dramasangat.
Saat itulah emosi negatif datang. Rasa seperti diri tiada siapa yang mahu, diri terasa terasing, dunia terasa kelam, sunyi, gelap, kosong. (Kalau anda terkena symptom-symptom seperti ini, cepat-cepat tutup laptop atau hp, ambil al-Quran dan BACA. Anda di ZON BAHAYA).
Sebenarnya, hidup bujang ni tidak lah seteruk dan sesunyi yang disangka. Ramai mereka yang sudah berkahwin kadang-kadang rindu untuk kembali kepada zaman bujang mereka. Kenapa? Kerana selepas berkahwin baru sedar yang dizaman bujanglah hidup kita penuh dengan cerita yang pelbagai, penuh dengan drama-drama hidup atau pendek kata, hidup zaman bujang ni berwarna-warni. Jadi, jangan terus-terusan bersedih dan termenung. Gunakan masa bujang yang dianugerahkan Allah s.w.t kepada kita ini sebaik mungkin.
Ini dia, 8 perkara yang membuatkan zaman bujang anda penuh indah dan bermakna!
Perkara utama dan sentiasa yang harus anda lakukan sebagai seorang gadis adalah sentiasa BERTENANG dan CERIA. Untuk bertenang tidak susah. Tanamkan keyakinan dan kepercayaan kepada janji Allah s.w.t. Di dalam al-Quran banyak dinyatakan bahawa setiap makhluk diciptakan berpasangan termasuklah anda. Jadi, tidak perlu resah dan khuatir. Anda ada pasangannya, cuma masanya belum tiba. Latih diri untuk sentiasa ceria dan gembira. Caranya juga mudah, ceriakan dan gembirakan orang lain. Anda pasti sentiasa bahagia.
Tetapi, kita sebagai manusia memang tidak dapat lari dari sedih, tertekan, marah atau emosi negative yang lain. Cuba elakkan dari menampakkan emosi-emosi negatif anda dihapan orang lain. Kalau terasa seperti ingin sedih, tertekan atau marah cepat-cepat ambil wudhu’, baca al Quran atau solat sunat dua rakaat. Kalau tidak sempat pun, berzikir dan selawat banyak-banyak dalam hati. InshaAllah, hati akan terus menjadi tenang.
Bayangkan, kalau anda sendiri tidak suka mendekati mereka yang selalu murung. Begitulah juga orang lain kalau melihat anda sentiasa murung. Menjadi seorang yang ceria dan sentiasa gembira akan membuatkan anda lebih menarik dan ingin didekati.
- Jaga mak ayah anda betul-betul.
Bersyukurlah andai anda masih mempunyai mak dan ayah diwaktu bujang ini. Kerana diwaktu inilah yang sepatutnya anda gunakan betul-betul untuk menjaga mereka. Luangkan masa bersama mereka lebih dari masa anda termenung memikirkan soal jodoh.
Ada yang berpendapat untuk belajar berdikari dan menjadi matang, kita harus tinggalkan rumah mak ayah dan hidup sendiri. Bagi penulis, pendapat itu mungkin tidak sesuai diaplikasikan oleh gadis muslimah. Sebenarnya, tidak perlu keluar dari rumah mak ayah dan hidup sendiri untuk belajar berdikari dan menjadi matang. Anda hanya harus tukar peranan anda dari seorang anak yang manja dan dilayan oleh mak ayah kini anda pula yang memanjakan dan melayan mereka. Beri atau belikan apa yang mereka mahu. Masakkan untuk mereka. Kemaskan tempat tidur mereka. Bawa mereka bersiar-siar. Layanlah mereka lebih daripada apa yang mereka telah beri semasa kecil. Didik diri menjaga mak dan ayah secara automatic akan mengajar anda menjadi seorang yang lebih matang dan berdikari. InshaAllah, apabila anda sudah berkahwin nanti, Allah s.w.t akan permudahkan urusan menjaga suami dan anak-anak.
- Menyayangi anak kecil (kanak-kanak).
Sebagai seorang gadis yang penuh sifat keibuan, memang sedih bila kita lihat orang lain menimang cahaya mata dan kita masih lagi tidak berkahwin. Bukan cemburu, cuma rasa ingin mendapat anak juga tersimpan dalam hasrat hati. Tetapi anda tidak perlu layan perasan sedih dan sunyi itu. Cuba layan anak-anak kawan anda seperti anak anda sendiri. Ataupun, kalau anda ada masa terluang pergilah melawat ke pusat penjagaan anak-anak yatim, pusat kanak-kanak istimewa. Lakukan aktiviti bersama mereka. Belikan hadiah untuk mereka. Ajar mereka membaca, mengaji, mengira. Bawa mereka berjalan-jalan (dengan kebenaran ibu bapa mereka ya. Jangan bawa lari anak orang ya J). Anda pasti rasa seronok dan bahagia.
Meluangkan masa bersama-sama ahli-ahli syurga ini akan memberikan anda perasan yang luar biasa indahnya. Percayalah!
- Luangkan masa untuk menghafal al-Quran.
Setiap dalam diri seorang muslimah yang solehah pasti akan ada niat tersemat di dalam hati untuk menjadi seorang yang menghafal al-Quran. Cuma selalunya niat akan kekal menjadi niat kalau kita tidak mulakan tindakan dari sekarang. Waktu bujang adalah waktu yang paling afdhal untuk kita mula menghafal al-Quran. Sekiranya kita bertangguh sehingga sudah berumah tangga nanti, pasti banyak lagi alasan yang membuatkan niat menghafal al-Quran ini terkubur begitu sahaja. Tidak ada istilah lambat untuk memulakan diri menghafal al-Quran ini.
Tidak susah. Begini caranya. Mulakan dengan satu hari satu ayat sahaja. Tubuhkan satu kumpulan whatsapp atau telegram sebagai ‘support group’. Setiap hari anda pastikan ahli kumpulan menghantar rekod hafalan ke dalam kumpulan whatsapp atau telegram tersebut. Tujuannya adalah untuk menyemak bacaan oleh ahli yang lain. Selain itu, anda akan rasa lebih termotivasi apabila ahli kumpulan masing-masing menghantar hafalan mereka.
Bayangkan, walaupun setiap hari anda hanya menghafal satu ayat al-Quran. Lama kelamaan anda akan dapat menghafal semushaf al-Quran. Kalau tidak pun, seandainya anda dijemput pulang kembali ke pangkuan Allah s.w.t. Anda akan meninggal dunia dalam keadaan sedang bermujahadah menghafal al-Quran. Subhanallah.
- Amalkan gaya hidup sihat.
Mulakan gaya hidup yang sihat dari zaman bujang kerana suatu hari nanti, sebagai ibu anda akan bawa gaya hidup sihat ini ke dalam keluarga anda. Dengan bersenam anda akan dapat mengekalkan tubuh badan yang cantik selain mengeluarkan peluh dan akan meningkatkan tahap keyakinan anda. Selain itu kajian mengatakan bahawa bersenam dapat mengurangkan ‘stress’ dan menjadikan seseorang itu lebih gembira. Ini kerana semasa bersenam, otak akan menghasilkan sejenis hormon bernama serotonin yang dapat membawa rasa gembira ke dalam minda seseorang. Jadi, kalau anda mula mahu rasa sedih atau tertekan, cepat-cepat pergi bersenam supaya hormone serotonin dapat membantu anda gembira semula.
Sebagai tambahan, untuk mengamalkan hidup yang sihat perlu seimbangkan antara senaman dan pengambilan makanan yang sihat. Gabungan dari 20% senaman dan 80% makanan yang sihat akan membantu anda menjadi seorang gadis yang sihat, ceria, dan bertenaga.
- Lakukan pelbagai aktiviti yang tidak pernah anda buat.
Anda tidak akan rasa sunyi lagi sekiranya anda penuhkan masa anda dengan pelbagai aktiviti. Lakukan sesuatu yang baru dan tidak pernah anda cuba. Seperti, mengembara, mendaki bukit, memasak, menunggang kuda, memanah, melukis, menangkap gambar, atau apa sahaja. Lakukan perkara yang pernah anda inginkan untuk lakukan semasa anda kecil. Atau pergi ke tempat yang anda ingin pergi. Masih belum terlambat untuk lakukannya sekarang. Penuhkan hidup anda dengan pelbagai pengalaman. Suatu hari nanti anda akan ceritakan semua pengalaman-pengalaman anda ini kepada anak cucu.
- Cari Ilmu sebanyak mungkin.
Ini sangat penting. Gunakan masa bujang ini sebaiknya dengan mencari ilmu dari pelbagai bidang. Tidak semestinya harus ada sijil seperti ijazah, sarjana atau kedoktoran. Ilmu banyak cabang ilmu agama (wajib!), ilmu sejarah, ilmu geografi, ilmu matematik, dan banyak lagi. Bukan sahaja teori, malah ilmu kemahiran juga harus dicari seperti ilmu memasak, menjahit, menghias, dan BONUS kalau anda juga mencari ilmu berniaga. Kenapa penting mencari ilmu diwaktu bujang? Kerana waktu inilah anda mempunyai banyak kelapangan, kurang tanggungjawab, duit yang digunakan pun untuk diri sendiri selain mak dan ayah. Jadi, gunakan peluang bujang ini untuk mencari sebanyak mungkin ilmu. Pasti anda tidak sempat untuk merasa bosan.
- Daftarkan diri menjadi sukarelawan.
Rebut peluang memberi sumbangan kepada masyarakat sewaktu bujang dengan mendaftarkan diri menjadi sukarelawan di mana-mana badan organisasi. Di sini anda boleh melatih diri membantu orang, menyumbangkan tenaga dan kepakaran anda. Selain itu, anda juga berpeluang berkenalan dengan kawan-kawan baru, meluaskan pengalaman, dan mungkin anda akan jumpa gadis yang masih tidak berkahwin seperti anda atau yang lebih susah hidupnya dari anda. Oleh itu anda akan terdidik menjadi seorang yang lebih bersyukur dan tidak mengeluh. Elakkan banyak masa bersendirian dan bergaullah dengan kawan-kawan yang positif. Hidup sendirian itulah yang membuatkan anda murung kerana anda merasakan diri anda seorang sahaja yang ditimpa nasib sebegini.
Sebenarnya, banyak lagi perkara dan aktiviti yang boleh anda lakukan sementara masih bujang dan akan menjadikan hidup anda lebih indah dan bermakna. Bermanfaat lah untuk orang lain, gembirakan orang lain, InshaAllah hidup anda akan lebih indah dan bermakna. Disamping itu semua aktiviti ini, persiapkanlah diri anda menjadi Muslimah yang terbaik untuk pasangan anda kerana dia juga dalam perjalanan mempersiapkan diri. Tiada lagi alasan untuk sedih dan bosan menunggu jodoh. Percayalah, janji Allah s.w.t itu pasti.
Suatu hari anda akan tersenyum mengenang kembali zaman-zaman bujang anda yang penuh warna warni.
Semoga bermanfaat!!
Penulis : Fatiya Deni
http://www.pikodot.com
|
|