LIHAT KELUARGA BESAR SITI NURHALIZA & DATUK K SAMBUT RAYA DI RUMAH TENGKU ZAWYAH Seperti mana yang dikata orang, sekeping gambar mampu menterjemahkan 1001 makna dan menerusi gambar ini, terpancar jelas kebahagiaan serta kesejahteraan yang terbina demi meneruskan kelangsungan dalam mengeratkan tali silaturahim antara dua buah keluarga. – Foto Instagram @ctdksupporter. Jika ada yang beranggapan bahawa hubungan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dengan Datin Tengku Zawyah Tengku Izham yang merupakan bekas isteri suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, masih lagi keruh, buangkan sahaja tanggapan negatif itu.
Lihat Keluarga Besar Siti Nurhaliza & Datuk K Sambut Raya Di Rumah Tengku Zawyah
Hakikat sebenarnya adalah hubungan Siti Nurhaliza dan Tengku Zawyah telah lama pulih dan berjalan dalam keadaan baik sementelah kedua-duanya juga telah membina kehidupan yang baru.
Cuma, kata Siti Nurhaliza dalam satu temu bual bersama Berita Harian sekitar tiga tahun lalu ketika gambar mereka berdua meraih perhatian di laman sosial pada bulan Syawal, perkara itu tidak diketahui ramai dan adalah lebih baik ia tidak perlu dihebohkan serta disensasikan.
Malam semalam, sekali lagi di dalam bulan Syawal yang mulia ini, penyanyi yang kini sedang popular dengan lagu Mikraj Cinta itu telah memuat naik sekeping gambar di laman Instagram miliknya, @ctdk yang mendapat maklum balas positif daripada peminat dan pengikutnya.
Gambar berkenaan memaparkan Siti Nurhaliza dan Tengku Zawyah bergambar bersama-sama dengan anak, menantu serta pelakon, Izara Aishah yang merupakan kekasih kepada anak Tengku Zawyah, Muhammad Adib.
Dengan disertakan kapsyen yang berbunyi (tanpa mengubah maksud asal tulisan Siti Nurhaliza):
“Alhamdulillah. Bergambar kenangan selepas beraya bersama. Thank you so much Kak @teezac (merujuk kepada Tengku Zawyah) dan @rayyanjk (suami Tengku Zawyah) for the lovely dinner. Selalu Siti datang tak lupa buatkan roti keca favourite Siti.”
Gambar kenangan Siti Nurhaliza selepas beraya di rumah Tengku Zawyah yang dimuat naik ke laman Instagram penyanyi itu dan mendapat maklum balas positif. – Foto Instagram Siti Nurhaliza (@ctdk)
Rata-rata peminat dan pengikut Siti Nurhaliza gembira dan menyifatkan keberkatan Syawal ini telah mengeratkan hubungan serta silaturahim antara keluarga Siti Nurhaliza dan Tengku Zawyah.
Malah, daripada pemerhatian The Rakyat Post sehingga pukul 11 pagi tadi, gambar berkenaan telah disukai hampir 14,000 kali oleh pengikut dan peminat laman Instagram Siti Nurhaliza itu.
Bukan itu sahaja, anak ketiga hasil perkahwinan Khalid Mohamad Jiwa dan Tengku Zawyah, Muhammad Asyraf juga memuat naik gambar mereka sekeluarga menerusi akaunnya, @asyrafkhalid dengan menulis kapsyen yang berbunyi: “Modern Family – We have a unique family. Thank you Mama for having all of us, and your wonderful cooking!”
Impak daripada gambar tersebut juga telah mendorong salah seorang pengikut Siti Nurhaliza yang menggunakan akaun @ctdksupporter untuk memberikan kata-kata semangat dan mendoakan kesejahteraan buat mereka iaitu:
“Bila kita jaga hubungan kita dengan Allah, InshaAllah, Allah akan jaga hubungan kita dengan sesama manusia. And I’m happy for this beautiful family. Wishing you both @ctdk and @teezac all the happiness in the world and hereafter, aameen.”
Sesungguhnya tiada perasaan yang mampu digambarkan apabila melihat kebahagiaan yang dikecapi oleh penyanyi kesayangan ramai ini dalam menyambut Syawal kali ini bersama keluarga.
Kami di sentiasa mendoakan yang terbaik dan semoga hubungan kekeluargaan yang terjalin itu akan terus kekal bahagia sehingga ke syurga.
|