Peniagaan tudung yang diusahakan pelakon dan pengacara jelita, Neelofa, 25, berkembang dalam tempoh singkat. Berdasarkan sambutan luar biasa peminat terhadap tudung rekaan di bawah jenama Naelofar itu, ramai beranggapan Neelofa sudah bergelar jutawan pada usia muda.
Neelofa bagaimanapun berkata belum sampai waktu untuk mengaku dirinya jutawan muda kerana masih banyak misi belum terlaksan. Perjalanannya masih jauh, namun andai ada yang mendoakannya bakal bergelar jutawan, dia bersyukur.
“Alhamdulillah, jika ada yang mendoakan saya bergelar jutawan satu hari nanti. “Mungkin sudah tertulis rezeki saya apabila peniagaan tudung dan pakaian yang diusahakan mendapat sambutan mengalakkan. “Sebelum ini, macam-macam perniagaan pernah saya buat, tetapi semuanya berdepan pelbagai dugaan. Apabila tidak menjadi, saya tukar lagi dan tidak pernah berputus asa. “Kalau boleh saya mahu jadi inspirasi kepada orang muda supaya menceburi bidang perniagaan dan jangan mudah mengalah,” katanya pada majlis pelancaran selendang edisi istimewa Naelofar bersama Zalora.
Bercakap mengenai kerjasama bersama Zaloran, dia tidak menyangka perniagaan atas talian terkemuka Zalora itu sudi mempromosikan produk Naelofar. “Bisnes tudung saya ini masih baru. Selepas empat bulan beroperasi, Zalora menawarkan kerjasama ini. Asalnya saya mahu jual jubah, namun apabila tudung mendapat sambutan luar biasa, ada baiknya saya fokus pada pengeluaran tudung saja.
“Saya gembira dengan penerimaan orang ramai terhadap Naelofar, malah ada beberapa pihak menciplak rekaan saya. “Ada pasukan yang memantau dan mencari siapa yang menciplak tudung saya. Perkara sebegini sukar dikawal dan jika mereka melakukan lebih daripada jang­kaan, saya tidak boleh berbuat apa-apa. “Bagi saya apa yang penting tindakan mereka itu sedikit pun tidak menjejaskan periuk nasi saya. Saya pun malas ambil pusing kerana banyak lagi perkara lain hendak difikirkan,” katanya. .
Menyentuh perihal karier lakonan, Neelofa berkata, dia sepatutnya kembali aktif tahun ini, namun buat masa ini hanya dapat beraksi dalam telefilem kerana sibuk menguruskan perniagaan. “Saya memang rindu muncul dalam drama. Sudah lama saya tidak muncul di kaca televisyen dan terbaru drama lakonan saya yang sudah ditayangkan di TV3 adalah Lukisan Takdir. “Memandangkan perniagaan sedang berkembang, saya hanya dapat menjayakan telefilem kerana tidak mengambil masa yang lama untuk penggambaran,” katanya.
-HARIAN METRO
|