Edited by damian_lee at 27-3-2015 10:55 AM
[size=0.8em]NIK Michael Imran memuat naik gambarnya bersama Nadiah Shahril. - Foto Instagram
KUALA LUMPUR: Lewat tengah malam beberapa hari lalu, chef selebriti, Nik Michael Imran ada memuat naik gambarnya di laman Instagram bersama seorang wanita bernama Nadiah Shahril yang diakui sendiri oleh dirinya sebagai kekasih hati. Menerusi gambar berkenaan turut ditulis keterangan: "Selamat ulang tahun, cintaku. Hanya sedikit masa lagi sebelum November menjelma dan kita akan meraikan cinta ini ke peringkat yang lebih serius. Saya cinta awak." Tulisan itu membayangkan bahawa Nik akan menamatkan zaman bujangnya tak lama lagi pada bulan November depan. Hal itu disahkan sendiri Nik yang dihubungi BH Online. Tetapi semuanya masih dalam perancangan dan diharapkan Nik dipermudahkan segala-galanya. "Insya-Allah, ya kami akan melangsungkan pernikahan bulan itu," katanya yang agak segan berkongsi kisah peribadi pada skala lebih besar kerana menyifatkan diri beliau bukan artis popular tetapi hanya chef selebriti. Bagaimanapun usaha BH Online untuk memujuk Nik berkongsi serba sedikit kisah cintanya itu berjaya. Nik sebenarnya sudah bertunang dengan Nadiah sejak November tahun lalu. Cuma dia tidak terlalu menggembar-gemburkannya.
[size=0.8em]CHEF selebriti, Nik Michael Imran. - Foto Nurul Shafina Jemenon
[size=0.8em]CHEF selebriti, Nik Michael Imran. - Foto Nurul Shafina Jemenon
"Tapi ada juga saya menyebutnya namanya dengan merujuk dia sebagai tunang di laman Instagram sebelum ini. Dia sebenarnya cinta pertama saya di sekolah menengah dulu. Biasalah adat bercinta, ada pasang surutnya. "Tak sangka cinta kami bertaut kembali selepas sekian lama. Hakikatnya dia wanita yang sangat memahami diri saya. Dia kini masih menuntut dalam bidang seni bina di London. Memang perancangan asal pun dan persetujuan keluarga untuk kami bertunang dalam tempoh setahun," katanya yang pernah menjadi juri program permainan hiburan masakan, Kan Cheong Kitchen di 8TV. Ditanya mengenai perkembangan kerjayanya, pemilik restoran Picknik beroperasi di Publika, Solaris Dutamas itu seperti biasa sibuk dengan rutin sehariannya sebagai chef. Menurut Nik, ada beberapa tawaran program masakan yang sedang dipertimbangkannya.
[size=0.8em]CHEF selebriti, Nik Michael Imran. - Foto Nurul Shafina Jemenon
"Kalau jadi seperti dirancang, saya akan terbabit dengan sebuah program bagi saluran Asian Food Channel. Saya akan ke Singapura untuk membincangkan hal ini tak lama lagi," katanya yang pernah mengacarakan program Aussie Mari, Helo Bro...Tolong Masak!, Dapur Panas, Tea Twist untuk Asian Food Channel, Makmal Masak dan program masakan dan bergelar juri untuk program Bikin Panas di TV9. Biar masih hijau di arena pengacaraan, beliau pernah dicalonkan dalam kategori Pengacara TV Lelaki Popular bersaing dengan Datuk AC Mizal, Johan, Nabil Ahmad dan Zizan Razak pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2013 yang lalu.
|