|
KUALA LUMPUR: Laporan pertama kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), MH370 mendedahkan bateri isyarat pengesan pada Perakam Data Pesawat itu telah tamat tempoh lebih setahun sebelum tragedi itu.
Laporan 684 muka surat bertajuk, Maklumat Berdasarkan Fakta Siasatan Keselamatan MH370 berkata, rekod penyelenggaraan menunjukkan bateri lampu isyarat pada perakam data yang juga dikenali sebagai 'kotak hitam' itu tamat pada Disember 2012.
"Ini antara margin tambahan yang diambil kira untuk mengetahui jangka hayat bateri dan memastikan ia memenuhi syarat minimum," menurut laporan itu.
Laporan yang dihasilkan pasukan penyiasat antarabangsa berkata, bagaimanapun bateri lampu isyarat pengesan di bahagian perakam suara kokpit berfungsi.
Pasukan itu menyiasat latarbelakang kapten, pembantu juruterbang, pakar psikologi, profil kewangan selain 10 kru kabin lain.
Bagaimanapun, siasatan mendapati tiada penemuan yang mencurigakan membabitkan semua kru terbabit.
"Tiada tanda sikap mengasingkan diri, perubahan minat, menyendiri, penyalahgunaan dadah atau alkohol di pihat kapten, pembantunya dan kru kabin," katanya.
Laporan ini juga menyebut radar awam mengesan pesawat itu pada tempoh singkat selepas ia menukar haluan pada 8 Mac tahun lalu, bagaimanapun ia berlainan dengan kenyataan negara bahawa hanya rada tentera sahaja yang dapat memantau pergerakan pesawat negara ini. |
|