Bahana pakai pendakap gigi palsuGolongan muda dikesan membeli pendakap palsu berkenaan melalui dalam talian, pasaran gelap serta di salun kecantikan dan juga gerai-gerai terbuka di tepi jalan yang kemudiannya meletakkannya di gigi mereka.
[size=100%]KUALA LUMPUR, 8 Februari: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membeli dan mengguna pendakap gigi palsu pada gigi mereka kerana ia didapati tidak selamat untuk digunakan berdasarkan risiko kesihatan yang dilaporkan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri S.Subramanian berkata terdapat peningkatan terhadap trend tidak sihat yang menggunakan pendakap gigi palsu di Malaysia dan juga beberapa negara Asia lain.
Menurutnya, golongan muda dikesan membeli pendakap palsu berkenaan melalui dalam talian, pasaran gelap serta di salun kecantikan dan juga gerai-gerai terbuka di tepi jalan yang kemudiannya meletakkannya di gigi mereka.
Beliau berkata, terdapat juga tanda-tanda yang menunjukkan sebahagian mereka membeli pendakap berkenaan melalui dalam talian sebagai usaha memberi tekanan pada gigi bagi membetulkan kecacatan kecil yang dialami mereka.
“Tekanan yang tidak betul pada gigi yang dilakukan oleh individu yang tidak mempunyai kemahiran boleh menyebabkan pulpa iaitu saraf dan saluran darah di gigi mati.
“Trend seperti ini adalah sesuatu yang sangat membimbangkan apabila ia digunakan sebagai simbol status serta tidak mendapat kelulusan daripada pengamal pergigian yang sah dan tidak digunakan untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Tambah Subramaniam, terdapat juga laporan berkenaan risiko ke atas kesihatan malah kematian yang dikaitkan dengan kewujudan bahan berbahaya iaitu plumbum dalam beberapa pendakap gigi palsu.
Jelasnya, walaupun rekaan dan juga warnanya menarik namun ia juga telah dikaitkan dengan masalah gusi, ulser mulut, jangkitan mulut, gigi tidak teratur, kerosakan gigi dan lain-lain.
“Penggunaan alatan yang tidak dibersihkan terlebih dahulu juga boleh menyebabkan jangkitan serta alahan kepada bahan yang digunakan,” ujarnya.
TRP |