Razak pernah ajak sosialis sertai BN, kata Kassim Ahmad OLEH LOOI SUE CHERN Published: 16 January 2015 2:55 PM
Aktivis politik, Kassim Ahmad yang pernah menjadi presiden Parti Sosialis Rakyat Malaysia ketika ditemu bual di rumahnya di Kulim, Kedah, baru-baru ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 16 Januari, 2015.Betapa berbezanya suasana politik Malaysia kini sekiranya parti sosialis wujud dalam kerajaan memerintah, seandainya perdana menteri kedua Malaysia Tun Abdul Razak Hussein tidak meninggal hanya 6 tahun selepas memegang jawatan beliau. Pemikir Melayu Dr Kassim Ahmad yang merupakan presiden kepada parti pembangkang Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PRSM) semasa pentadbiran kerajaan Razak, berkata Razak seorang pemimpin yang terbuka dan inklusif, dan menawarkan untuk membawa PRSM ke dalam kerajaan memerintah, Barisan Nasional (BN). Namun berlaku salah komunikasi semasa mesej tersebut disampaikan kepadanya, dan perkara itu tidak pernah terjadi. "Razak memberikan saya mesej melalui (setiausaha medianya Datuk) Abdullah Majid, memberitahu saya untuk mengajak PRSM ke dalam BN, tetapi mesej yang saya terima tidak jelas. "Saya diberitahu untuk bekerja dengan Dewan Bahasa dan Pustaka. "Saya keberatan kerana tidak mahu terikat dengan organisasi kerajaan. Tawaran tersebut mengejutkan saya... apabila saya mendapat mesej yang sebetulnya, Razak sudah pun meninggal dunia akibat leukemia. Jadi ia tidak berlaku. Kassim, 82, berkata malangnya Razak mendapat peluang untuk mentadbir negara untuk hanya 6 tahun. Beliau berkata allahyarham perdana menteri itu merupakan seseorang yang mempunyai visi luas bagi perubahan yang diperkenalkan beliau selepas rusuhan kaum 13 Mei, 1969. Antaranya merupakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan menjalinkan hubungan diplomatik dengan China pada 1974. Malaysia merupakan negara Asia Tenggara pertama untuk melakukannya. Razak mewarisi jawatan daripada Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan menjadi perdana menteri pada 1970. "Beliau mengetuai Mageran (Majlis Gerakan Negara, atau NOO) memulihkan Parlimen selepas darurat, dan memperkenalkan polisi seperti DEB dan menubuhkan jalinan bilateral dengan China selepas menjadi perdana menteri. "Beliau menjalankan tugasnya berbeza 100% dengan cara Tunku. Perubahan itu satu perkara yang baik. Apabila kita mencapai kemerdekaan daripada British, saya tidak bersetuju dengan pentadbiran Tunku. Ia seperti kami masih lagi dijajah, mewarisi sistem British. "Visi Razak bagi negara berbeza – lebih luas dan terbuka. Beliau mempunyai penasihat tidak rasmi daripada sayap kanan dan kiri yang membincangkan politik dan menghantar cadangan kepadanya bagi keputusan akhir," kata Kassim. Kepimpinan Tunku semasa zaman kacau-bilau dikritik beberapa pemimpin, diketuai Razak. NOC merupakan badan pentadbiran kecemasan yang mengambil alih kuasa untuk memulihkan undang-undang dan keharmonian dalam negara. Majlis yang diketuai Razak itu mentadbir negara dari 1969 hingga 1971 apabila ia dihentikan selepas Parlimen dipulihkan. Razak merupakan arkitek DEB, sebuah langkah kejuruteraan semula sosial dan tindakan afirmatif ekonomi dengan strategi serampang dua mata untuk menghapuskan kemiskinan dalam semua kaum menjelang 1990, dan untuk mengurang dan menghapuskan hubungan identiti mana-mana kaum dengan fungsi ekonomi dan lokasi geografi mereka. Razak percaya yang identifikasi seperti ini akan menghalang perpaduan nasional. DEB kemudian diteruskan dalam polisi kerajaan selepasnya, yang dikritik kerana bersifat pro Bumiputera kerana mengetepikan rakyat Malaysia yang lain, serta penyalahgunaan dan korupsi dalam pelaksanaan polisi tersebut. Kassim berkata DEB Razak diperlukan Malaysia ketika negara masih lagi dalam zaman perubahan, tetapi ia patut berakhir sebaik saja ia menjadi kelemahan kepada kaum Melayu. "Menurut data kerajaan, objektif DEB belum lagi tercapai. Tetapi saya berasa kaum Melayu yang memegang keputusan ini... keistimewaan yang diberi kepada mereka membuatkan mereka rasa selesa. Mereka menjadikannya zon selamat di mana mereka tidak perlu hadapi cabaran. "Disebabkan ini, mereka tidak dapat melihat kepentingan dalam berusaha untuk maju. Mereka jadi lemah dan tidak kompetitif. Lebih baik hentikan sesuatu yang tidak membantu rakyat lagi. "Orang ramai hanya perlu diajar semula. Ramai yang menjadi Pak Turut. Berfikir menjadi susah," kata ilmuwan berusia 82 tahun itu, yang turut berdepan masalah dengan undang-undang dan menghadapi dakwaan Syariah kerana menghina Islam. Kassim juga percaya dengan sekolah satu aliran, dan berkata sekolah vernakular Cina dan Tamil yang dibenarkan Razak dalam polisi pendidikan Laporan Razak beliau, hanya diperlukan pada ketika itu untuk memenuhi keperluan setiap kaum. "Dengan masa, saya percaya kita akan maju ke arah sekolah satu jenis untuk membawa pendidikan kita ke arah kecemerlangan." katanya. Kassim melihat sekolah vernakular sebagai jambatan kepada sasaran mencapai bangsa Malaysia, sesuatu yang dirasakan akan mengambil masa 3 generasi untuk direalisasikan. "Masanya juga perlu tepat. Kempen DAP 'Malaysian Malaysia' pada 1960 gagal apabila ia mula digunakan," katanya. Kassim berkata sama juga dengan parti politik, yang negara kini masih lagi belum bersedia untuk parti pelbagai kaum. Pengasas Umno Datuk Seri Onn Jaafar juga cuba membuka parti kepada semua rakyat Malaya tetapi gagal kerana masanya belum sampai lagi, katanya. Kassim berkata Malaysia masih jauh daripada mencapai sebuah 'bangsa Malaysia'. "Kita masih lagi dalam zaman perubahan. Untuk membina bangsa kita perlukan 3 generasi, seperti yang saya katakan. Jika kita kaji sejarah, ini yang berlaku dalam semua peradaban. "Kita masih lagi perlukan satu lagi abad sebelum kita bersedia untuk semua parti politik yang betul-betul Malaysia dan sebelum rakyat boleh menganggap diri mereka rakyat Malaysia dulu," katanya. Kassim merupakan bekas pensyarah Pengajian Melayu di Sekolah Pengajian Oriental dan Afrika di Universiti of London. Beliau menolak jawatan tetap di universiti tersebut untuk mengejar minatnya dalam politik Malaysia dan penulisan. Beliau berkata tidak pernah bertemu dengan Razak secara peribadi walaupun selepas pulang dari Britain, tetapi perdana menteri itu mengenalinya sebagai presiden PRSM. Kassim juga percaya rakyat takut kepada Razak. "Beliau seorang yang serius. Pada masa itu, tiada Internet dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) masih berkuat kuasa, jadi semua masih berjaga-jaga," kata Kassim yang ditahan di bawah ISA selepas kematian Razak untuk hampir 5 tahun sehingga 1981 kerana didakwa terlibat dengan usaha komunis dan sosialis. Razak meninggal dunia ketika sedang mendapatkan rawatan di London, kurang 6 tahun selepas menjadi perdana menteri. Beliau dikebumikan di Makam Perwira di Kuala Lumpur dan digelar Bapa Pembangunan selepas kematiannya. Daripada 5 anaknya, yang sulung iaitu Datuk Seri Najib Razak, merupakan perdana menteri ke-6 negara kini. Ditanya apa pendapatnya tentang Najib, Kassim berkata perdana menteri itu perlu menunjukkan kekuatannya sebagai pemimpin. Namun beliau tidak setuju dengan cara beliau dikritik, ataupun isterinya Datin Seri Rosmah Mansor di dalam media sosial. "Sebagai rakyat kita perlulah patriotik. Jangan kutuk tanpa rasional. Tumpukan kritikan kepada pemikiran pemimpin anda, jangan buang masa mengkritik tanpa berfikir,” katanya. Kassim menulis kepada Najib selepas perdana menteri itu mengumumkan pada Disember 2013 yang Umno akan meminda perlembagaannya untuk mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan dan hanya merupakan pengikut mazhab Sunni, atau Ahli Sunnah Wal Jamaah, sebagai pengikut Islam yang sebenar. Kerajaan Malaysia menerima mazhab Sunni sebagai ideologi Islam yang utama. Mana-mana mazhab Islam yang lain, termasuk Syiah, dianggap menyimpang. "Di dalam Al-Quran, haram untuk menubuhkan puak-puak dalam agama. Saya menulis kepada Najib tentangnya, dan saya tidak rasa perkara itu ditimbulkan lagi... saya rasa surat saya memberi kesan," katanya. Kassim yang menyertai Umno pada 1986, juga berkata beliau menulis kepada Najib baru-baru ini tentang masalah rasuah di dalam parti dan bagaimana kebanyakan ahli sudah lupa mengapa Umno ditubuhkan dengan idealnya. "Saya tahu ia sukar untuk menjadi ahli parti dalam dekad sebelum ini. Umno ditubuhkan pada 1946 sebagai parti yang penuh idealisme. Ahlinya pergi ke mesyuarat dengan basikal, tetapi kini mereka terbang ke sana dengan penerbangan kelas pertama. "Kita dapat bertemu keluarga besar dalam parti, tetapi mereka tidak faham politik ataupun sejarah dan falsafah Umno. Kita cuma ada pemimpin cawangan yang menubuhkan cawangan kerana mereka menyasarkan projek," katanya, mendesak Najib supaya memanggil mesyuarat tergempar untuk membetulkan situasi tersebut. "Sebagai ketua BN, beliau perlu mendapatkan komponen parti lain untuk melakukan perkara yang sama, Najib bercakap tentang perubahan, tetapi tinggal hanya cakap. Beliau tidak punya metodologi. "Ia kerja yang amat sukar, tetapi perlu dilaksanakan. Beliau perlu melakukannya, mendapatkan mandat dan membawa perubahan, jika tidak Malaysia akan terhapus... saya akan menulis kepadanya lagi," kata Kassim. – 16 Januari, 2015.
|