Johor Bahru:Muhdalena Ahmad, 30, wanita yang terbabit dalam kejadian amuk di Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada Julai 2012, berjaya melarikan diri dengan memberi alasan ingin ke tandas ketika sedang mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini kira-kira 8.50 pagi tadi. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Datuk Hasnan Hassan berkata, Muhdalena sebelum itu dimasukkan ke HSA pada Ahad lalu untuk bersalin dan melarikan diri kira-kira 9 pagi tadi. "Serentak itu gerakan mengesan Muhdalena dilancarkan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya boleh menghubungi polis di talian 07-221 2999," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini. Sementara itu menurut sumber,Muhdalena baru sahaja melahirkan anak lelaki pada Selasa lalu dan tidak bergari selain memakai baju hospital berwarna merah jambu ketika melarikan diri. "Ketika kejadian ada dua anggota polis yang bertugas dan Mudhalena meminta izin untuk ke tandas selain dibenarkan berbuat demikian tanpa dikawal kira-kira 8.50 pagi tadi," katanya. Muhdalena pada Jun lalu diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen Putrajaya supaya ditahan di Hospital Permai, Tampoi, Johor sementara menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong. Pada Julai 2012, Muhdalena didakwa terbabit dalam kes amuk bersenjata bersama seorang lelaki, Khalil Afandi Abdul Hamid, 47, yang mengaku dirinya 'Imam Mahdi'. Khalil Afandi mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya selepas terkena tembakan di tangan dan bahagian ari-ari manakala Muhdalena, terkena tembakan di paha kanan dan dirawat di hospital sama.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Oktober 2014 @ 7:55 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/3637#sthash.r606Ze5v.dpuf
|