Georgetown: Seorang penunggang motosikal disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan apabila bukan saja melanggar seorang warga emas, malah turut membiarkan mangsa menahan kesakitan hampir setengah jam dalam satu kejadian langgar lari di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 9 pagi, mangsa seorang lelaki berusia lingkungan 70-an tertiarap dengan keadaan ditindih motosikalnya sendiri selepas dikatakan dilanggar penunggang motosikal lain yang kemudian terus melarikan diri.
Kejadian itu berlaku di lorong motosikal dan mujur ada penunggang lain yang memberikan bantuan kepada warga emas terbabit yang dilihat mengalami kecederaan parah di kepala, muka dan juga anggota badannya yang lain.
Penunggang motosikal yang menyelamatkan mangsa, Rahmat Ali, 24, berkata, dia ternampak sebuah motosikal terbalik di lorong berkenaan sebelum memberhentikan kenderaannya.
"Sebaik menghampiri lokasi kejadian, saya terkejut apabila melihat tubuh seorang lelaki di bawah motosikal dan mendengar mangsa merintih menahan kesakitan serta meminta pertolongan.
"Saya mengangkat motosikalnya dan mendapati keadaan mangsa agak teruk dengan kepalanya berdarah sebelum saya menghubungi ambulans," katanya.
Menurutnya, dia sempat bertanyakan mangsa mengenai kejadian itu dan lelaki warga emas itu memaklumkan dia dilanggar seorang penunggang motosikal lain hampir setengah jam sebelum itu.
"Sejurus mendengar ceritanya, saya sebak kerana mengenangkan masih ada insan yang tidak bertanggungjawab dengan membiarkannya menahan kesakitan berseorangan," katanya.
"Lebih mengecewakan kerana mangsa adalah seorang warga emas dan dia tidak sepatutnya ditinggalkan sebegitu," katanya yang ditemui di lokasi kejadian.
Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) kerana kecederaan parah dialaminya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Oktober 2014 @ 5:13 AM
«»
WARGA emas yang cedera parah dibantu pegawai perubatan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/1492?m=1#sthash.IVd0MKqy.dpuf
p/s:takde hari perut ke Last edited by GhostWalking on 13-10-2014 07:07 AM
|