Cara mereka tak profesional - Diana Johor
Diana Johor
KUALA LUMPUR: Ekoran isu pembabitan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) memberi tempoh selama dua minggu kepada produksi Unique Twins Sdn Bhd milik Diana Johor dan Lina Johor, Diana dihubungi BH Online untuk bertanyakan mengenai pihaknya pula.
Hari ini menerusi portal hiburan, tiga individu daripada produksi berkenaan untuk filem Rentap yang diterbitkan syarikat produksi itu tampil membuat aduan kepada Karyawan mengenai soal kewangan yang perlu dijelaskan.
"Saya rasa hal ini tak sepatutnya terjadi. Tidak baik sesuka hati mengaibkan saya dan produksi sedemikian rupa. Jika produksi saya salah, kenapa tak dibawa berbincang dengan baik. Alasan mereka cakap saya tak jawab panggilan itu tidak benar sama sekali," kata Diana.
"Telefon saya sentiasa dibuka untuk melayan panggilan. Saya tak sangka mereka boleh mengambil jalan sebegini. Pihak Karyawan sendiri pun ada menghubungi saya, tetapi mereka cakap tak berjaya. Semua itu mengarut.
"Yang saya terima daripada pihak Karyawan ialah mesej menyuruh saya menghubungi mereka kembali. Kenapa mereka tak hubungi saya sendiri dan menjelaskan apa yang terjadi. Cara ini nampak tak profesional," katanya. Diana menjelaskan, penggambaran filem epik berkenaan sudah diadakan sejak Jun lalu di Kuala Tahan, Pahang selama dua minggu.
Namun atas beberapa sebab, penggambaran filem itu ditangguhkan dan dijangka diteruskan November depan.
"Pihak produksi tengah berbincang semula tarikh untuk meneruskan penggambaran kembali. Penggambaran sebelum ini memang ada perkara berbangkit dan kita kena atur balik jadual. Kita juga tengah buat olahan skrip.
"Untuk filem ini kita ada 80 babak. Tapi ketika dua minggu penggambaran berlangsung hanya 20 babak disiapkan. Seperti yang diberitahu pihak produksi saya, sepatutnya dalam sehari disiapkan empat babak tetapi jadi satu hari hanya satu babak dilunaskan.
"Ia sedikit sebanyak memang merugikan pihak produksi. Ada perkara yang tak perlu tetapi nak juga diwujudkan. Bayangkan pelakon tambahan yang perlu datang sehari sebelum penggambaran tetapi sudah ada 10 hari di sana (Kuala Tahan). Ia jadi serabut dan sebab itu penggambaran ini ditangguh kerana kita perlu selidik apa yang perlu dan tidak," katanya.
Menjawab kepada tuntutan tiga tiga individu yang dimaksudkan iaitu elakon Azliyuszaini Mohd Noor atau Yuzz, Pengarah Fertwork Productions yang menguruskan pelakon tambahan iaitu Nabila Ibrahim dan pemandu pelancong, Abdullah Chik yang dilantik sebagai koordinasi lokasi penggambaran, Diana menjelaskan:
"Macam Yuzz, jelas dalam kontrak kita akan bayar 50 peratus bayaran sebelum dan selepas penggambaran.
"Kita sudah pun bayar 50 peratus tetapi dia nak lagi baki 50 peratus. Bagaimana nak jelaskan baki bayaran sedangkan banyak lagi babak membabitkan beliau belum siap.
"Abdullah Chik pula memang kita tak lantik dia secara rasmi sebagai koordinasi lokasi. Tunjuk bukti kalau ada. Dia timbulkan isu duit penggunaan Rumah Panjang belum dijelaskan sedangkan saya sudah peruntukkan duit itu di bawah kendalian jabatan seni produksi saya.
"Nabila pula, pihak kami sudah jelaskan bayaran kepadanya. Kita cuma sedang selidik dua invois yang diberikan pihaknya. Dalam hal ini kita tak boleh sesuka hati memberi bayaran terhadap invois yang dikemukakan. Kita kena teliti invois ini betul-betul," katanya.
Filem Rentap diarahkan Hashim Rejap dan diterajui pelakon seperti Zachery Francis, Livonia Ricky dan Jasmine Chin.
Last edited by SenahMontanah on 25-9-2014 03:13 PM
|