TIDAK mahu orang menggelarkan dia Baby Arin Res'2 yang disifatkan terlalu banyak cerita hitam sebaliknya menggunakan Lilo Khalil sebagai nama pentas.
Itu pembaharuan yang diketengahkan seiring dengan kemunculan semula selepas puas dicemuh masyarakat yang memandang serong kepadanya selama ini.
Mengakui kesal kerana tidak berhati-hati sehingga terlibat dengan beberapa insiden mencalarkan namanya sebelum ini tegas Lilo, bagaimanapun semua itu adalah cerita silam.
Yang penting sekarang ini adalah kesedaran dan menghindarkan diri daripada terlibat dalam perkara yang boleh menjatuhkan reputasi diri selepas ini.
Pernah didakwa terlibat dengan aktiviti khurafat yang bertujuan untuk mendapat banyak tawaran sepanjang membabitkan diri dalam pementasan teater, pemilik nama sebenar Lily Zarina Khalil menafikan sekeras-kerasnya.
Malah tegas wanita berusia 35 tahun ini, dia bukan jenis yang mudah mempercayai amalan yang bertentangan dengan agama Islam itu.
"Saya melalui banyak pengalaman kurang manis sepanjang zaman remaja terutama sewaktu dengan kumpulan Res'2. Kejatuhan saya itu cukup memeritkan. Sebab itu saya ambil iktibar. Janji tak mahu mengulangi kesalahan lagi.
"Lagi pun mana ada manusia sempurna. Saya perlu menjadi lebih berhati-hati, memilih kawan dan meninggalkan aktiviti yang berpotensi menjahanamkan diri sendiri.
"Jadi apabila saya sudah insaf dan masih ada orang bercerita buruk tentang saya, sudah pasti saya kecewa," katanya yang aktif dalam pementasaan teater lebih 10 tahun lalu.
Antara teater yang pernah dijayakan Lilo sebelum ini adalah The Secret Life of Nora dan P. Ramlee - The Musical... Hidup, Cinta dan Inspirasi terbitan Enfinity Productions.
Tidak mahu menoleh ke belakang Lilo juga enggan menuduh mana-mana pihak yang cuba menabur pasir ke dalam periuk nasinya sebaliknya mahu terus berdiri dalam bidang seni kerana minat yang mendalam.
"Saya belajar banyak ilmu nyanyian sepanjang terlibat dalam dunia pementasan teater. Walaupun saya hanya memegang watak kecil dan bukan peranan utama, tak mengapa sebab saya minat," katanya lagi.
Source Utusan
|