|
AKSI bersahaja Mawi ketika mengarahkan telefilem Rock Sangkut untuk tayangan pada Aidilfitri ini.
Meskipun nama­nya sudah tidak menjadi fenomena seperti dulu, karier seni Asmawi Ani atau Mawi masih bernafas lagi.
Bukan sekadar menya­nyi, Mawi juga aktif di belakang tabir.
Pengalaman hampir sedekad menjadi anak seni nyata digunakan Mawi, 32, sebaik mungkin. Walaupun pembabitannya dalam nyanyian masih diterima, namun bakat yang ada wajar dikembangkan.
Justeru, menerusi syarikat produksi miliknya, Mawi kini duduk di kerusi pengarah untuk berkarya.
Bahkan, hasil karya­nya yang akan menemui penonton pada Aidilfitri nanti iaitu telefilem Rock Sangkut.
Mawi yang ditemui ketika penggambaran telefilem itu di Sepang, baru-baru ini berkata, Rock Sangkut mengangkat kisah komedi tiga pemuda kampung yang nekad berhijrah ke ibu kota untuk mengejar cita-cita menjadi penyanyi rock popular.
“Bagaimanapun, pelbagai insiden tak diduga perlu diharungi mereka. Namun, demi cita-cita diimpikan itu mereka akur dan tabah menempuh dugaan.
“Saya yakin penonton akan terhibur me­nyaksikan telefilem Rock Sangkut ini yang akan disiarkan Astro pada raya pertama nanti. Telefilem ini padat dengan komedi dan pengajaran.
“Apa yang pasti, telefilem ini menggabungkan tiga pelakon berbakat tanah air iaitu Hazama, Along Cham dan Joey Daud. Gabungan mereka bertiga cukup serasi,” katanya.
Menurut Mawi, walaupun pengalamannya dalam pengarahan tidaklah sehebat mana, namun dia gigih berusaha. Bahkan, dia selesa berbincang dengan pelakon.
Berbicara mengenai cabaran dihadapinya, Mawi berkata, apa yang lebih mencabar ialah tempoh penggambaran.
Katanya, telefilem Rock Sangkut dihasilkan dalam tempoh lima hari.
“Tak dinafikan tempoh penggambaran dilakukan itu agak singkat tetapi saya bertuah kerana mendapat pelakon dan barisan tenaga kerja produksi berpengalaman. Jadi, mereka semua banyak membantu.
“Apatah lagi, telefilem ini tiada heroin. Kisah pula bergenre komedi ringan dan hanya diterajui tiga pelakon lelaki sebagai watak utama. Maka, ia tidaklah begitu sukar,” katanya.
Berbicara mengenai karier utamanya sebagai pe­nyanyi, Mawi berkata, dia bersyukur rezeki buatnya masih ada. Bahkan, dia dan isteri, Ekin juga mengusahakan perniagaan lain.
Antara produk perniagaan diusahakan pasangan ini ialah makanan kesihatan di bawah label Une-Quein Sdn Bhd serta butik Une-Quein yang memasarkan busana Muslimah, jubah, tudung, baju Melayu dan baju-T berkolar.
Ujar bapa kepada se­orang cahaya mata perempuan dinamakan Cahaya Malaika ini lagi, dia dan isterinya kini cukup aktif berniaga.
Apapun, sepanjang Ramadan ini Mawi dan Ekin mengakui mereka memang tidak menang tangan menerima tempahan baju Melayu, jubah dan tudung untuk dipakai pada Aidilfitri nanti. Malah, tempahan sudah mula diterima sejak beberapa bulan lalu.
“Tempahan diterima bukan saja dalam kalangan masyarakat dan peminat, tetapi rakan artis juga berminat. Setakat ini, di butik kami memiliki lebih 10 pilihan warna dan rekaan yang unik dan berbeza.
“Sebagai salah satu strategi pemasaran, saya juga sering memakai baju Melayu jenama UneQuein terutama ketika mengadakan persembahan pentas. Sejak itu, syukur produk butik kami semakin mendapat perhatian,” katanya.
Cukup dikenali peminatnya dengan lagu Al-Haq yang dinyanyikan secara duet dengan pengacara terkenal, Datuk AC Mizal, anak jati dari Kulai, Johor ini memaklumkan dia sentiasa berusaha mendapatkan lagu terbaik untuk dirakam sebagai single.
Katanya, apapun bukan mudah mendapatkan lagu yang bagus.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/MawiarahRockSangkut/Article/index_html
|
|