CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3121|Reply: 7

Novel - belum bertajuk

[Copy link]
Post time 13-7-2014 07:10 PM | Show all posts |Read mode
PROLOG            


     Kaki kecil dan kurus itu berlari laju meredah kepekatan malam. Sesekali badannya terlanggar kotak-kotak kayu yang tersusun sepanjang lorong kecil dan sempit berbaur hanyir itu. Meski badannya terluka,dia sudah tidak peduli.Pedih,luka mahupun darah jua sudahtidak mampu menyakitkan tubuh yang hanya tinggal tulang berbalut kulit.   

     Dari kejauhan terdengar keriuhan suara beberapa orang lelaki mengejarnya. Mereka berteriak memintanya berhenti namun semakin laju dia berlari. Sebuku roti yang masih digenggaman dipegang semakin erat.     

       Malang bagi si kecil itu apabila dia tersadung sebatang besi paip sebesar lengan seorang lelaki yang terentang di atas jalan sempit itu. Tubuhnya tersemban kedepan. Roti yang tadinya digenggam erat ke dada terpelanting beberapa kaki kedepan. Tangannya dihulur ke depan, cuba mengambil roti yang sudah jatuh kedalam lopak air di lorong yang berlubang-lubang itu.

            “Kurang ajar punya budak.”suara lelaki yang mengejarnya tadi kedengaran bengis.

    Seiring dengan ucapan itu dia merasa pukulan kuat mengenai belakang badannya yang masih lagi tertiarap lemah. Dengan apa mereka memukulnya, dia juga tidak tahu.Barangkali kayu, besi ataupun sekadar memijaknya. Entah, dia tidak tahu dan tidak ingin ambil tahu.

      Matanya masih merenung roti yang masih pegun di dalam lopak air. Hatinya berdoa agar roti itu masih elok. Serentak itu juga ada satu kaki yang memijak tangannya yang masih terhulur ke hadapan.

        Matanyaberair. Sakit? Tidak, dia tidak merasa sakit. Sedih?  Mungkin. Entah, dia tidak pasti apa perasaannya sekarang kerana yang terbayang di tubir mata ialah sepasang mata bundar yang sedang menunggu untuk menagih janjinya sebentar tadi.

       Hampir sepuluh minit dirinya dibelasah, tiba-tiba dia merasa belakang tubuhnya ringan.Tiada lagi hentakan kuat. Ringan seringan-ringannya.

       “Dah,lari..lari”kedengaran suara lelaki-lelaki itu menjerit sesama sendiri.Baragkali mereka sudah mahu beredar.

      Matanya masih lagi kaku merenung roti itu sambil tangannya masih terjulur ke hadapan.Bezanya kini,tangannya jua turut kaku.

        Keletung….bunyi sebatang besi jatuh ke lantai kedengaran tidak jauh dari kedudukannya tertiarap. Dia sudah tidak berdaya untuk bergerak apatah lagi mahu menoleh melihat gerangan manusia yang menjatuhkan besi itu. Kudratnya sudah tiada.

     Sesusuk tubuh lelaki berjaket labuh gelap tunduk mengutip roti yang sudah basah didalam lopak air. Lelaki bersarung tangan kulit itu meletakkan roti itu ke dalam genggaman tangannya yang sudah kaku.

     “Lainkali…”dalam dan garau suara lelaki itu.“Kalau nak mencuri, jangan sekali-kali kau curi dari orang yang lebih kuat dari kau…”saat lelaki itu berkata-kata,mata anak kecil itu sudah berkelip-kelip.Perlahan-lahan mengecil seakan-akan mahu terpejam.

      Mungkin lelaki ini yang sudah menyelamatkannya. Lelaki yang tidak dikenali. Barangkali seorang manusia bersifat malaikat ataupun mungkin cuma bersifat syaitan. Entah, dia tidak tahu. Kerana apa yang dia tahu sekarang ialah dia sudah mengecewakan seorang kanak-kanak lelaki bermata bundar yang ditinggalkannya di dalam timbunan kotak-kotak kosong tidak jauh dari lorong ini. Sepasang mata bundar yang mengharapkan kepulangannya kerana dia satu-satunya yang masih ada dan tinggal untuk si mata bundar itu.

     “Adik…maafkan abang……”dia berbisik perlahan sebelum pandangannya kelam, sekelam masa depannya mulai hari ini……………….                     
Last edited by cindelira on 13-7-2014 07:31 PM

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 13-7-2014 07:11 PM | Show all posts
BAB 1

Kuala Lumpur, Januari 2002.

Saat dia sudah lupa bagaimana rasanya sakit……….

        Dia merenung pemandangan Bandar Kuala Lumpur yang mulai hidup saat siang mulai berundur pergi dan malam mulai menjenguk. Lereng bukit yang sunyi itu menjadi tempatnya berteleku semenjak beberapa tahun lalu.

    Di sini, dia dapat melihat Kuala Lumpur yang meriah dilimpahi neon ibarat berlian-berlian halus yang bersinar di leher jinjang seorang perawan. Di sini dia dapat melihat kemeriahan Kuala Lumpur tanpa perlu didakap oleh kebisingan dan keriuhan kota yang rakus dan bersedia menelan siapa sahaja yang pincang langkahnya. Dia tahu itu kerana dia sudah beberapa tahun menguasai Kuala Lumpur.

        Mata kecilnya terus merenung pemandangan kota yang terentang di depan mata meski minda dan fikirannya sudah terbang jauh. Meski dia sudah melupai kebaikan,melupai kehidupan malahan bertahun jua dia meninggalkan Tuhan, tidak pernah sesaatpun dia melupai wajah pemilik mata bundar itu. Satu-satunya sebab yang membuat dia terus bersemangat untuk hidup hingga ke hari ini.

        “Adik…”dia berbisik perlahan. Dengusan kasar dilepaskan.

        Bertahun lamanya dia hidup dan menghambakan dirinya dalam satu pencarian. Dia ingin mencari adiknya yang sudah lama hilang. Sejak kehilangan adiknya, setiap pelusuk hospital, rumah anak-anak yatim malah setiap lorong-lorong di Kuala Lumpur sudah dia jejaki, namun tetap hampa. Tiada satupun dari usahanya berhasil. Meski semakin hari pencariaannya semakin sukar ibarat mencari sekeping wang syiling yang hilang di dasar lautan, dia tetap tidak berputus asa. Baginya, selagi dia masih bernyawa, selagi itulah dia akan berusaha.

        Namun hari ini, harapannya itu sudah musnah. Mindanya terlayar pada kejadian tengahari tadi. Panggilan telefon yang diterima dari seorang lelaki tua ibarat menyuluh jalannya yang semakin kelam. Barangkali usahanya akan berhasil hari ini.

        “Apa hubungan encik dengan dia?”lelaki separuh umur yang sudah putih rambutnya bertanya penuh minat.

        “Dia adik saya.”

        Lelaki tua berkemeja batik rona biru pekat itu mengangguk tanda faham. Kerutan di dahi jelas kelihatan di wajah tuanya saat itu. Perlahan-lahan dia menanggalkan cermin mata. Ada keluhan berat yang sukar untuk diluahkan oleh hati tuanya.

        “Beginilah, biar saya berterus-terang. Adik encik…dah tak ada…”

        Lelaki berjaket hitam itu menjegilkan mata. Kata-kata lelaki tua gempal itu seakan-akan sukar untuk dihadam.        

        “Apa maksud kau”dia bertanya keras. Hilang sudah rasa hormatnya pada lelaki tua itu.

        “Sepuluh tahun dulu, rumah anak yatim ini pernah terbakar. Sebahagian daripada asrama pelajar lelaki hangus dijilat api. Malangnya, semasa kejadian tu berlaku, adik encik turut rentung.”
       
     Dia sudah bangun. Matanya seakan menyala,hatinya panas, pedih dan sakit. Bertahun dia mencari dan hari ini dia mendengar berita yang begitu menyakitkan. Berita yang pedihnya ibarat mencampakkan seorang buta ke dalam telaga gelap. Pedih yang melenyapkan semua harapan.

        “Tunjukkan aku kuburnya.”

        “Maaf, mayat-mayat tu dituntut oleh anggota keluarga masing-masing. Di mana mereka disemadikan, pihak kami tidak ada rekod tentang itu……”

        Hatinya makin panas seolah-olah disimbah api, terdetik jua di hati kecilnya kalau-kalau lelaki tua ini menipu atau mungkin dia tersilap orang. Mana mungkin ada ahli keluarga yang datang menuntut mayat adiknya kalau dia satu-satunya keluarga yang tinggal. Tubuh gempal di depannya kelihatan semakin mengecil di hadapannya. Dia benci orang yang menipu. Sangat-sangat benci.

        Sepantas kilat dia bangun dari kerusi dan tangan kirinya laju mencekik leher lelaki tua itu. meja yang dari tadinya menjadi pemisah antara kedudukan mereka diterbalikkan kasar. Menggeletar tubuh lelaki yang di dadanya tersemat tanda nama bertulis ‘Hasbullah’.

        “Aku benci orang yang menipu.”sedang tangan kirinya masih menggegam leher Hasbullah, tangan kanannya diangkat ke atas. Hampir terkeluar biji mata Hasbullah sebaik melihat anak muda di hadapannya ini tidak mempunyai jari-jemari pada tangan kanannya. Pergelangan tangannya digantikan dengan satu cangkuk yang kelihatan tajam bersinar. Dia cuba meneguk air liur meski amat payah.

        “Tak….tak…ti…pu”dia tergagap-gagap berbicara. Tangannya yang menggeletar menunjuk ke arah meja kayu yang sudah diterbalikkan anak muda berwajah bengis di hadapannya itu.

        “Da…lam la..la ci…..”sebaik kata-kaat itu diluahkan, tubuhnya ditolak kasar ke arah meja tersebut. Kelam kabut dia membuka laci satu persatu, cuba mencari kotak kecil yang sudah lama berada dalam simpanannya.

        Lelaki berjaket hitam itu membuka isi kotak itu dengan rakus. Dia terduduk sebaik isi kotak itu kelihatan. Seutas rantai yang berloketkan sebentuk cincin berbatu biru bentuk bulan sabit itu amat dikenali. Rantai dan cincin itu adalah pemberian terakhir ibunya. Dan rantai itu jugalah yang ditinggalkan bersama adiknya pada malam tersebut. Meninggalkan harta terakhir pemberian ibu dengan janji yang dia akan kembali pada adiknya.

        Sedang dia berteleku, ekor matanya dapat melihat lelaki tua itu cuba menyelinap keluar dari bilik tersebut. Sepantas kilat dia bangun menerkam, laju saja mata cangkuk di tangan kanan dibenamkan ke perut lelaki tersebut. Darah membuak keluar. Lelaki itu mati serta-merta dengan mata yang masih terbuka.
Last edited by cindelira on 13-7-2014 08:22 PM

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-7-2014 07:11 PM | Show all posts
     Dan selepas kejadian itu dia terus ke mari. Ke lereng bukit yang selama ini tidak pernah gagal memberinya ketenangan. Dalam kepekatan malam, dia menggengam tangan kirinya lalu mendekatkannya ke dada. Rantai berloket cincin batu biru itu sudah dipakai ke leher.

    Loket itulah satunya-satunya kenangan yang dia ada bersama keluarganya. Kenangan yang masih tinggal.

        Dia mendengar derap tapak kaki berjalan mendekatinya. Tidak ingin menoleh kerana dia sudah tau siapa pemilik derap kaki itu.

        “Dragon, bos panggil.”suara lelaki yang sudah bertahun menemaninya itu kedengaran perlahan tapi tegas.

        Dia mengangguk laju. Sudah berbelas tahun dia hidup sebagai Dragon dan hari ini juga adalah satu lagi hari yang harus dilalui dengan penuh kesakitan seperti hari-hari semalam yang sudah berlalu.

*****
        Mawar berjalan penuh semangat menuju ke bilik sewaan yang terletak di atas deretan rumah kedai di Kampung Baru. Suasana sunyi kerana waktu sudah menjejak ke angka 3 pagi tidak dihiraukan. Sesekali dia ingin terjatuh saat kakinya tersadung tin-tin kosong yang bertebaran di lorong sempit itu. Mujur dia sempat mengimbangi badan dan sebaik saja dia tegak berdiri,tangannya diseluk ke dalam poket seluar. Dia tersenyum sebaik merasa segumpal duit itu masih elok terletak di dalam poket seluarnya.

      Sambil membetulkan kemeja putih yang besar  menyaluti tubuh kurusnya, dia kembali berjalan riang.
       
    Sebaik tiba di bilik sewaan di tingkat tiga rumah kedai yang sudah usang itu, dia membuka pintu perlahan. Dia melangkah berhati-hati ke arah bilik air lalu suis lampu bilik air dihidupkan. Sengaja dia membiarkan pintu bilik air terkuak sedikit agar cahaya dapat menyimbah masuk ke dalam bilik sewaannya yang cuma bersaiz lima belas kaki persegi. bukan dia tidak mahu menghidupkan lampu utama bilik, tapi dia tidak mahu menggangu tidur adiknya.

      Mawar panik sebaik menyedari katil di dalam bilik itu kosong. Adiknya tiada. Adiknya hilang?

        Mawar meluru keluar lalu pintu bilik sebelah diketuk kasar. Suaranya menjerit memanggil nama Kak Rashida. Ketukan bertalu-talu itu turut mengundang rasa kurang senang jiran-jiran. Bukan dia tidak sedar akan suara beberapa orang yang menjerit memintanya agar tidak membuat bising tetapi dia sudah tidak peduli.

        “Mana Kak Shida ni. takkan dah mati kot”hatinya geram.

        “Kenapa kamu ni?”wanita berbaju kelawar warna kuning itu bertanya malas sebaik wajahnye terjengul dari sebalik pintu yang separuh terkuak. Separuh mamai sahaja gayanya.

        “Kakak…Azri mana?Adik saya mana?”mawar bertanya cemas.

        Wanita beranak tiga di hadapannya mencelik mata luas. Hilang sudah kantuknya yang masih bersisa tadi.

        “Kamu cakap apa ni?”dia memandang wajah pucat Mawar penuh kehairanan.

        Anak gadis berusia 16 tahun yang baru beberapa bulan dikenali itu kelihatan cemas. Dek kerana kasihan pada si gadis malang itulah dia mengambil tugas menjenguk dan menyediakan makan minum adik Mawar setiap kali gadis itu keluar bekerja. Meski Azri yang berusia 7 tahun itu sedikit istimewa,namun dia menolong mereka ikhlas. Lagipun tidak membawa sebarang beban pada kemiskinannya kerana gadis itu pasti menghulurkan duit setiap bulan.  Meski dia tidak pernah meminta,namun tidak pula dia menolak dengan pemberian itu.

        “Agaknya…”dia teringat sesuatu. “Dia keluar cari kamu kot”

        Dia teringat kejadian petang tadi. Azri marah-marah dan mengamuk. Belum pernah dia melihat kanak-kanak yang menghidap Down Syndrome itu mengamuk seperti petang tadi.

        “Tadi dia mengamuk sakan. Katanya dia nakkan kamu.Tapi lepas makan tadi dia tidur. Ingatkan dia dak ok” wajah Mawar di hadapan penuh keresahan, pucat lesi. Kalau ditoreh sekalipun wajah tirus itu, pasti tidak mengeluarkan darah.

*****
        Mawar mencari di segenap pelosok lorong berdekatan bilik sewaannya. Dia benar-benar berharap menemui Azri. Air matanya tumpah laju. bimbang, takut dan marah bergilir-gilir mengetuk hatinya. Hampir saja dia sasau apabila gagal mengesan Azri.

        Akhirnya Mawar memberanikan diri untuk mencari Azri di lorong gelap selang beberapa blok dari tempat dia menyewa. Meski dia agak gerun untuk menjejak kaki ke lorong belakang bangunan rumah kedai yang sudah lama dibiarkan kosong itu, dia tetap meneruskan langkah. Rasa takut ditolak ke tepi. Hasratnya cuma satu, mahu mencari Azri.

        Dia menyusuri lorong sempit yang berbau masam hanyir itu berhati-hati. Berbeza dari tadi kala mulutnya laju melaung nama Azri, kali ini dia hanya diam. Kalau adapun hanya matanya saja meliar ke sana sini ibarat seekor helang. Dalam hati tidak putus-putus dia berdoa.

        Langkahnya mati sebaik terdengar suara jeritan seorang lelaki. Dalam keadaan cemas Mawar menyembunyikan tubuhnya di balik timbunan kotak-kotak kayu yang tersusun di sisi lorong tersebut. Antara rasa berani dan takut yang silih berganti, dia menjengahkan wajah ke arah jeritan yang sudah berhenti itu.

        Beberapa meter dari tempat dia bersembunyi, dia melihat seorang lelaki berkemeja putih terlentang di atas timbunan kotak. Lelaki itu dikelilingi beberapa orang lelaki  yang lengkap berpakaian kot warna gelap.

        “Lain kali,jangan main-main dengan kami.”lelaki kurus tinggi yang berdiri berdekatan kaki lelaki yang sudah terbaring lemah itu bersuara keras.

        Mawar dapat melihat dengan jelas dada lelaki berkemeja putih itu turun naik dengan lemah tanda nyawanya masih melekat lagi pada tubuhnya. Kemeja putih itu juga sudah basah dengan darah yang membuak keluar dari mulut dan rongga hidungnya.

        “Tapi takkan ada lain kali lagi. Sekali kau buat salah,jawabnya mati!”lelaki botak gempal yang berdiri bersebelahan lelaki berkemeja itu menjerit kasar sambil kaki pejalnya dihenyak ke atas perut lelaki malang yang sudah tidak mampu bergerak itu.

        Serentak itu juga lelaki botak tadi berpaling ke arah kanan. Tumpuannya terarah pada seorang lelaki tegap yang berdiri beberapa kaki dari kedudukan mereka.

     Memerhatikan kelakuan bersifat binatang itu tanpa  perasaan sambil menyalakan sebatang rokok di mulutnya.

        Sebaik rokok dinyalakan, dia mengangguk kecil ke arah si botak tadi. Faham dengan bahasa tubuh tersebut, pantas si botak mengeluarkan sepucuk pistol yang tersisip rapi di belakang tubuhnya. Muncung pistol diacukan ke arah kepala lelaki berkemeja putih yang nyawanya seperti nyawa-nyawa ikan.tidak kedengaran sebarang bunyi saat pistol itu meledakkan isi. Barangkali pistol itu sudah dilengkapi dengan sistem kalis bunyi agar tidak menarik perhatian sesiapa. Hampir terkeluar biji mata Mawar apabila melihat leher lelaki berkemeja itu terkulai ke sisi sebaik picu pistol ditarik si botak.

        Mawar mengigil ketakutan. Dia menekup mulutnya agar tidak mengeluarkan sebarang bunyi. Dia cuba bangun untuk pergi jauh dari situ namun rasa terkejutnya membuatkan kakinya seakan lumpuh. Pegun dan payah sekali untuk bergerak. Dalam kepayahan itu dia terlanggar kotak-kotak kayu dan kotak-kotak itu jatuh mengenai kepalanya.

        Bunyi bising itu ternyata menarik perhatian sekumpulan lelaki tadi. Dalam sekelip mata saja tubuh kurusnya diheret lalu dia ditolak kasar ke  arah lelaki tegap yang masih bersisa rokok di bibirnya. Barangkali lelaki yang kelihatan tenang ini ketua mereka.

        “Kau buat apa?Mengendap?”lelaki  botak itu menjerit kasar.Serentak itu juga rambut panjangnya yang diikat tocang direntap ke belakang. Mawar mengigil, terasa seluarnya sudah basah. Entah bila dia terkencing akibat ketakutan yang teramat juga dia tidak sedar.

        “Ma..af encik….maaa…af….”dia tergagap-gagap meminta simpati.
Kedengaran lelaki-lelaki itu ketawa berdekah-dekah saat dia memohon maaf. Sempat mawar melihat wajah lelaki yang dipanggil bos itu tenang. Bibirnya juga tidak mengukir senyum apalagi ketawa seperti yang lain.        

        “Kakak……”dari kejauhan mawar melihat Azri berlari ke arahnya. Azri memeluknya erat.

        Tangisan Mawar tumpah semakin laju. Kalau tadi dia berharap menemui Azri tetapi kini dia menyalahkan dirinya. Kenapa mesti dia mesti bertemu adiknya di sini dalam keadaan sebegini. Kecelakaan apakah ini.

        Azri yang gembira sebaik menemui kakaknya itu memandang lelaki-lelaki bengis itu satu persatu.

        “Sapa abang-abang ni?”tanyanya naf. Tiada perasaan takut mahupun hairan dalam diri kanak-kanak istimewa itu.

        Si botak itu tersenyum. Malam ini tangannya akan basah dengan darah lagi. Kalau tadi selesai dia menamatkan nyawa peguam yang sudah berpaling tadah, kini dia didatangkan dengan pakej lain pula. Nampaknya peluru yang terisi dalam pistol kalis bunyinya akan habis malam ini juga. Sungguh dia lelaki yang amat bertuah.

        Mawar hanya menggeleng lemah sambil membenamkan wajah Azri ke dadanya. Sungguh dia kesal. Kalau malam ini nyawanya akan sampai ke penghujung, sekurang-kurangnya biarlah dia pergi dengan Azri berada di dalam pelukannya.

        “Adik…”Mawar berbisik perlahan. Namun suara itu jelas kedengaran di telinga Dragon. Rokok yang masih besisa di bibirnya diludah keluar. Dia seolah-olah terlihat bayangan masa silamnya di dalam diri gadis di hadapannya itu.

        Si botak sudah tersenyum lebar lalu mengacukan pistolnya ke kepala Mawar. Perlakuannya terhenti sebaik melihat cangkuk di tangan Dragon menguis pistolnya menjauhi kepala gadis tersebut.

        “Joe…stop.”perlahan Dragon memberi arahan sambil menggeleng pada lelaki botak bernama Joe itu.

        Joe menghentikan perlakuannya meski dalam hati dia menyumpah Dragon. Celaka. Namun ungkapan itu hanya terluah di dalam hati. Mawar yang masih memeluk Azri merapatkan lagi pelukannya seolah-olah tidak mahu melepaskan lagi adiknya itu.
Last edited by cindelira on 13-7-2014 08:30 PM

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-7-2014 07:12 PM | Show all posts
BAB 2

Mei 2012.

        Dia memfokus pada kadbod kosong yang tertera imej lelaki berwarna hitam yang terletak beberapa meter di hadapan. Di atas kadbod itu juga ada beberapa grid garisan dan titik yang terlukis. Titik itu digunakan untuk menandakan kawasan penting seperti kepala dan dada.

      Ianya merupakan kaedah biasa dalam latihan menembak. Semakin dekat tembakan mengenai titik-titik tertentu, semakin tinggi point seseorang penempak tersebut. Malah itu juga secara tidak langsung menjadi pengukur kepada kecekapan si penembak tadi mengendalikan senjata api.

        Kawasan tertutup seperti ini menjadi medan buat mereka yang ingin membuat latihan menggunakan pistol. Pistol jenis automatik dengan peluru jenis kapur biasanya digunakan kerana tidak membahayakan dan tidak akan mendatangkan kecederaan.

        Lelaki berkulit cerah itu tersenyum puas sebaik melihat tembakannya tepat mengenai sasaran. Dua tembakan mengenai bahagian kepala dan satu lagi membenam tepat ke bahagian dada kiri kadbod. Dia yang merasa bahunya disentuh perlahan berpaling laju mencari gerangan orang tersebut.

        Senyumannya kian melebar sebaik melihat tampang lelaki separuh umur itu berdiri di belakangnya. Laju dia menanggalkan gogal dan penutup telinga yang menjadi penghalang bunyi. Lantas dia menyalami lelaki bert-shirt kelabu itu sambil menarik tangan lelaki tua itu keluar dari situ.

        “Macam mana ayah tahu saya ada di sini?”dia bertanya ceria sebaik berada di luar bangunan.

        “Anak ayah,ayah taulah.”lelaki tua itu bersuara senang.

        “Harraz.”

        “Ya ayah.”

        “Ayah ada sesuatu nak minta tolong.”

        Harraz mengerutkan dahi. Pelik. Seumur hidupnya,ini pertama kali dia melihat ayahnya begini.

        “Apa yang ayah maksudkan ni?”tanda tanya besar seakan bergayut di dahinya saat ini.

        “Pasal Jasmin”

        “Kenapa dengan Min?”

        “Ayah nak Harraz…kahwin dengan Jasmin.”

        “Macam mana dengan Hizam?”dia pelik dan terkejut dengan permintaan luar biasa ayahnya.

        Kenapa mesti memintanya mengahwini Jasmin kalau kurang dari seminggu lagi Jasmin bakal berkahwin dengan Hizam.

        “Lelaki tak guna tu dah tinggalkan anak ayah.”keluhan dilepaskan sebaik ayat  itu terluah.
       
        “Tapi, Min adik saya ayah.”
       
        “Bukan adik kandung.”pantas ayahnya meningkah.

        “Tolonglah ayah kali ni Raz…..”

        Harraz mengangguk lemah. Mana mungkin dia menolak permintaan lelaki ini kalau selama dia mengenali lelaki ini dia hanya menjadi penerima. Menerima kebaikan dari lelaki yang menyelamatkan hidupnya dan memberinya masa depan. Dan seumur hidupnya, ini pertama kali lelaki yang dipanggil ayah ini meminta pertolongan darinya.

*****
        Semuanya berlaku secara tiba-tiba. Cepat dan pantas. Ibarat mimpi kala dia menggoncang tangan tok kadi sebentar tadi dan kini dia sudah bergelar seorang suami. Semuanya itu tidak pernah ada dalam perancangan hidupnya. Sekurang-kurangnya untuk masa terdekat ini.

        Jasmin tunduk dan mencium tangannya. Terasa jemari runcing itu sejuk seperti ais. Silauan lampu kamera yang bertalu-talu tidak dihiraukan. Harraz cuba mencuri melihat wajah isteri yang baru dinikahi namun wanita yang sedari tadi menunduk itu seakan tidak mahu mengangkat wajah.

        Ada banyak benda yang menerjah mindanya kala ini. Tentang bisikan-bisikan tetamu yang rata-ratanya ahli keluarga terdekat. Pasti mereka tertanya-tanya saat melihat pernikahan berlangsung dengan pengantin lelaki yang berbeza.

        “Tahniah.”ucapan dari para tetamu disambut dengan senyuman.

        Dari kejauhan Hassan melihat pasangan pengantin baru itu dengan perasaan berbelah bagi. Ada rasa lega yang bercambur risau. Tetapi perasaan terbesarnya ialah rasa bersalah. Pada Jasmin dan pada Harraz. Hatinya menggelegak memikirkan lelaki tidak guna yang sudah membuat onar ke dalam keluarganya. Entah apa silapnya, lelaki itu menghilang beberapa hari sebelum perkahwinan. Mahu membatalkan perkahwinan, dia bimbang akan tohmahan orang terhadap keluarganya. Malah lebih membimbangkan kalau manusia di luar sana membuat kesimpulan yang tidak elok tentang anak gadisnya. Hendak mengahwinkan Jasmin dengan mana-mana lelaki yang sudi juga dia tidak sanggup. Hanya Harraz sahaja yang dia percayai.

        Hassan memandang Tamimah yang berdiri bersebelahan pengantin. Sedaya upaya wanita tua yang masih bersisa kejelitaannya itu tersenyum walau matanya sedikit berair. Seakan sedar dirinya diperhatikan, Tamimah mengangkat wajah lalu mata dia bertemu dengan mata Hassan. Dia tidak tahu sama ada harus menyalahkan bekas suaminya itu atau berterima kasih.

        Hampir pitam dek kerana darah tingginya menyerang saat berita kehilangan Hizam sampai ke telinga. Sebaik Hassan menyatakan rancangan untuk megahwinkan anak tunggal kesayangannya dengan Harraz dia cuma membisu. Hendak bertanya pada Jasmin, sia-sia sahaja. Anak gadisnya hanya diam membisu walau tidak setitikpun air mata yang tumpah di pipi.

        Keihklasan Harraz yang datang bertemunya dan menyatakan kesudian memperisterikan Jasmin sedikit sebanyak melegakan hati tuanya. Tamimah redha. Barangkali ini ujian terbesar buat dirinya selepas diuji dengan perpisahan berpuluh tahun dulu.

        Hassan melemparkan senyuman kepada wanita berumur lewat 40-an itu. Tamimah membalas senyuman tersebut. Umur yang semakin meningkat senja membuatkan dia semakin boleh memaafkan kesalahan bekas suaminya dahulu. Meski tidak pernah mendengar ucapan memberi kemaafan dari bibir bekas isteri, Hassan lega kerana pandangan Tamimah padanya tidak lagi berisi dendam seperti beberapa tahun dahulu.

*****

April 2010.

        Suasana dalam Viper Lounge kelihatan tenang dan mengasyikkan. Kelab malam di Bukit Bintang itu hanya menerima pelanggan eksklusif sahaja. Meski turut menghidangkan minuman keras, suasananya jauh berbeza dari kelab-kelab malam yang bertebaran di kota Kuala Lumpur yang membinigitkan dengan suasana lantai tari yang dipenuhi manusia-manusia yang dahagakan hiburan.

        Viper Lounge yang beroperasi hampir lima tahun ini berkonsepkan bar dan lounge di hotel-hotel mewah. Pelanggan yang datang biasanya akan bersantai dengan minum-minum ataupun sekadar mengadakan pertemuan dalam suasana yang lebih tertutup dan penuh privasi.

        Di bahgian bar yang penuh bersusun minuman keras pelbagai jenama kelihatan dua orang bartender yang lengkap berpakaian putih dengan bow tie berwarna hitam. Pantas sahaja mereka mengadunkan koktel dari campuran minuman keras setiap kali mendapat pesanan dari pelanggan.

        Tidak jauh dari bar tersebut, terdapat pentas kecil yang turut memuatkan sebuah piano di atasnya. Dari masa ke masa, pelanggan akan dihiburkan dengan alunan piano oleh pemain piano yang akan memainkan lagu-lagu sentimental dan berentak perlahan.

        Tepukan bergema saat sesosok tubuh langsing naik ke atas pentas. Wanita yang menyarung dress merah menyala itu membisikkan sesuatu ke telinga pemain piano. Faham dengan arahan wanita cantik tersebut, si pemain piano tersenyum lalu mengangguk kecil.

        Sekali lagi tepukan bergema saat alunan piano kedengaran. Beberapa siulan nakal turut kedengaran saat wanita bergelar Queen itu memulakan nyanyian. Buat pelanggan tetap yang saban malam mengunjungi Viper Lounge, nyanyian Queen amat dinantikan. Sosok jelita dengan suara merdu itu benar-benar menjadikan lelaki-lelaki gatal itu angau dan gila bayang. Saban malam mereka pasti kembali untuk menatap Queen.

        “Besame….besame mucho…”bibir mungil dengan lipstick merah menyala memulakan nyanyian.

        Malam ini dia mendendangkan lagu tersebut. Besame Mucho adalah lagu kegemaran lelaki itu. dia hanya akan menyanyikan lagi itu setiap kali lelaki itu datang ke sini sahaja.
        Saat suara lunaknya mengalunkan lagu tersebut, matanya tidak lekang dari merenung sesusuk tubuh tegap yang duduk di meja paling hujung. Meja tersebut agak terperosok, namum jelas kelihatan wajah lelaki itu di pandangan Queen.
       
     Meski lelaki-lelaki lain menginginkan dirinya, mendambakan cintanya malah tidak kurang juga yang mengimpikan tubuhnya, hati Queen hanya untuk lelaki itu sahaja. Bertahun dia mencintai lelaki dingin itu meski perasaan cintanya itu tidak pernah berbalas.

        Selesai mengalunkan lagu tersebut, tepukan gemuruh diberikan. Queen bergerak perlahan-lahan mendekati lelaki dingin tersebut. Mata-mata liar lelaki di situ hanya mampu memerhatikan sosok tubuh ituu dengan pandangan hampa.

        “Lama kau tak datang sini.”Queen melabuhkan punggung ke atas sofa lembut bersebelahan Dragon.

        “Sibuk.”sepatah sahaja lelaki itu menjawab.

        “Rindukan aku”Queen masih mencuba.

        Senyuman sinis tersungging di bibir Dragon. Sebatang rokok dikeluarkan lalu dinyalakan ke bibir. Meski peraturan di dalam Viper Lounge tidak membenarkan pelaggan merokok, dia tidak peduli kerana dialah yang membuat peraturan tersebut. Bagi Dragon, tiada peraturan yang perlu diikuti dalam kamus hidupnya.

        “Kahwin Queen.”dia berbicara tenang sambil menghembuskan asap rokok.
        Mata Queen membulat sebaik mendengar ungkapan itu. Hatinya berbunga-bunga. Akhirnya lelaki dingin ini melamar dirinya. Dia tersenyum manis.

        “Kau terima cinta aku akhirnya.”

        “Bukan kahwin dengan aku.”Dragon meningkah pantas.

        “Kahwin dengan mana-mana lelaki yang cintakan kau. Cari lelaki yang baik. Aku akan lepaskan kau. Ini hadiah yang aku nak berikan pada kau, kebebasan. Hadiah yang aku dah rampas dari kau sejak bertahun-tahun dulu.”

        Dragon menyedut asap rokok dalam sebelum dilepaskan asapnya melalui hidung.

        Queen terdiam. Marah dan kecewa silih berganti mengisi hatinya. Kalau dahulu dia membenci Dragon dan mengharapkan kebebasan dari sangkar emas ini, tapi perasaan itu sudah lama lenyap saat dia jatuh cinta pada lelaki itu.

        Tidak jauh dari meja mereka, seorang lelaki tampan berkaca mata asyik memerhatikan perlakuan Queen dan Dragon. Sudah hampir sebulan dia menjadi pengunjung setia Viper Lounge. Meski tidak pernah setitikpun dia meneguk minuman keras yang terhidang, dia tetap mabuk. Mabuk dengan api cinta pada wanita jelita itu.

*****

        Queen mendengus kasar. Wajah jelitanya ditenung di cermin besar. Bilik solekan yang dikhaskan hanya untuk dirinya itu kelihatan kosong di pandangan mata Queen walaupun terhias dengan barang-barang mewah.

        Setiap inci wajahnya diperhatikan. Entah apa kurangnya dia di mata Dragon juga dia tidak tahu. Kulitya putih bersih dan raut wajahnya seperti pan-Asian meski kedua orang tuanya adalah Melayu sejati. Queen menjerit lalu barang-barang mekap yang tersusun di atas meja solekan ditolak ke tepi. Kedengaran kaca pecah berderai. Queen tidak ambil peduli.

        “Queen.”Aidan menjengulkan wajahnya ke dalam bilik solekan wanita itu.

        “Apa.”separuh menjerit Queen saat mendengar suara Aidan yang juga pemain paino di Viper Lounge ini.

        “Ada bunga.”serentak itu jua dia meletakkan jambangan bunga ke atas lantai lalu pintu ditutup. Dia cepat-cepat berlalu pergi sebelum Queen melepaskan amukan padanya pula.

        Serentak itu juga Queen melemparkan sikat ke arah pintu yang sudah kembali tertutup. Dia marah dan geram. Meski marahnya pada Dragon, dia melepaskan amukan itu di sini. Puas melemparkan barang, dia menekup wajahnya lalu menangis.

        Setelah dirinya kembali tenang,Queen melangkah lesu menghala ke arah pintu. Jambangan bunga mawar merah yang dihiasi dengan baby breath itu dikutip. Dia tersenyum sinis. Hampir bertahun dia menjadi pujaan di sini, dia sudah banyak kali menerima hadiah dari lelaki-lelaki miang di luar sana.

        Jam tangan mewah, barangan kemas malah tiket melancong ke luar negara juga pernah diterimanya. Dan bunga adalah hadiah termurah yang diterimanya di antara hadiah-hadiah lain. Kad berbentuk hati yang terselit di celah jambangan bunga itu ditarik perlahan.
       
        Salam perkenalan dari saya,
        Semoga hadiah pertama saya tidak akan menjadi yang terakhir buat Cik.
        Yang ikhlas,
        Amsyar.
       
        Queen membaca tulisan itu tanpa perasaan. Dia sudah biasa dengan ucapan sebegitu malah sedikitpun tidak pernah terkesan di hatinya.

        “Yang ikhlas..”Queen mencemuh sinis.

        “Bunyi macam lelaki baik. Tapi…mana ada lelaki baik yang datang kat tempat macam ni”dia berbicara sendiri.

        ‘Kahwin dengan mana-mana lelaki yang cintakan kau. Cari lelaki yang baik.’ Serentak itu juga ucapan Dragon terngiang di telinganya. Hatinya yang sudah tenang kembali menggelegak.

     Jambangan bunga di tangan dicampak ke dalam tong sampah di sisi meja solek.

       
Last edited by cindelira on 13-7-2014 08:42 PM

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-7-2014 07:12 PM | Show all posts
kejap lagi cin edit ye sebab xkeluar pulak spacing
Reply

Use magic Report

Post time 14-7-2014 08:12 AM | Show all posts
permulaan yg menarik TT... byk flashback ya cite ni... anyway... good job TT...
Reply

Use magic Report

Follow Us
Post time 14-7-2014 04:31 PM | Show all posts
kisah thriller?..bagsu2 ipo suka
Reply

Use magic Report

Post time 17-7-2014 08:04 AM | Show all posts
TT... bila nak smbung cite ni...
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-4-2024 06:06 PM GMT+8 , Processed in 0.372409 second(s), 38 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list