|
Tempat rehat orang ramai yang berkunjung ke Gua Cha terbiar runtuh.
Antara tandas awam di Gua Cha yang rosak dan tidak diselenggarakan.
GUA MUSANG - Tempat bersejarah Gua Cha di Pos Tohoi, dekat sini, semakin hilang seri apabila segala kemudahan termasuk bilik mandi dan tandas awam banyak rosak dan runtuh tanpa ada pihak bertanggungjawab menyelenggarakan kawasan berkenaan.
Ia pernah menjadi tumpuan pengkaji sejarah kerana penemuan pelbagai barangan purba dan pusat ekspedisi berakit di Sungai Nenggiri.
Kebanyakan pengunjung sama ada peserta ekspedisi atau pelancong yang kerap mengunjungi kawasan itu tidak lagi berbuat demikian kerana tidak mahu menanggung risiko kejadian tidak diingini.
Menurut seorang pengunjung, Muhamad Halif Hamzah, 42, Gua Cha menjadi tempat bersejarah kerana terdapat rangka manusia terpanjang di dunia yang dipercayai mati dan ditanam dalam gua berkenaan beratus tahun lalu, perlu dijaga dengan baik.
Katanya, ia menjadi tarikan pengunjung yang ingin melihat sendiri penemuan itu di gua berkenaan, di samping pengunjung berpeluang menyertai ekspedisi berakit anjuran pelbagai pihak dari situ ke kampung Orang Asli di Pos Tohai.
“Memang sukar untuk pengunjung mandi atau membuang air kerana kemudahan tandas awam terbiar rosak tanpa dibaiki sejak lebih dua tahun lalu.
“Kami juga sedih melihat kawasan persekitaran yang bukan sahaja kemudahan seperti itu rosak, malah banyak lagi terbiar hingga menjejaskan tumpuan pelancong,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Fauzan Haun, 34, pula berkata, jika kawasan berkenaan diselenggarakan selalu, tidak mustahil ia menjadi destinasi pelancongan paling tersohor di negara ini, selain menarik tumpuan pengkaji sejarah datang dari merata tempat.
Dia yang kerap berkunjung ke Gua Cha itu untuk menyertai ekspedisi berakit turut terkejut melihat kawasan berkenaan yang kurang penjagaan.
“Sepatutnya keadaan tidak berlaku sedemikian kerana boleh dikatakan sepanjang masa akan ada sahaja kumpulan dari merata tempat datang untuk menjalankan aktiviti lasak, termasuk mendaki gua itu atau aktiviti lain yang mencabar,” katanya.
|
|