KUALA LUMPUR, 8 JULAI 2014: Sekitar awal era 1990-an dahulu, kumpulan 4U2C yang dianggotai tujuh orang anak muda pernah mencetuskan fenomenanya sendiri dalam industri muzik negara dengan lagu Fiona.
Kini selepas 20 tahun, nama kumpulan ini telah muncul semula dalam industri hiburan kita. Dengan hanya mengekalkan seorang anggota asal iaitu Dato` AC Mizal, 4U2C yang dijenamakan semula kepada ForUToC muncul dengan enam anggota baru yang kesemuanya adalah pelawak terkenal tanah air.
Ajak Shiro, Shuib dan Rahim dari kumpulan Sepahtu serta ketiga-tiga ahli kumpulan Bocey iaitu Acey, Fard dan Abam tampil bergandingan bersama Dato` AC Mizal untuk menghasilkan semula ForUtoC generasi baru.
Projek istimewa kemunculan semula ForUToC ini adalah hasil idea Dato` AC Mizal sendiri untuk mengabadi dan memperingati kenangan terhadap 4U2C.
Malah, kumpulan ini baru sahaja melancarkan versi baru Bergema Takbir Di Pagi Raya, lagu yang pernah popular didendangkan 4U2C satu ketika dahulu.
Bagi anda yang ingin mengetahui perkembangan lanjut kumpulan ini, jangan lupa untuk menyaksikan program MeleTOP malam ini di mana ForUToC bakal hadir sebagai tetamu jemputan.
Selain hadir untuk mempromosikan kumpulan ForUToC, mereka juga bakal berkongsi pelbagai cerita menarik serta perkembangan terbaru mereka di bulan Ramadhan Al-Mubarak. Pasti anda tidak mahu lepaskan peluang menonton program MeleTOP malam ini bukan?
Jadi jangan lupa untuk bersama hos MeleTOP anda, Nabil Ahmad dan Neelofa yang kini telah berhijab pada malam ini, jam 9 malam di saluran Astro Ria (104) dan Maya HD (135).