Kota Bharu: Seorang perogol bersiri yang kini menjalani hukuman penjara 68 tahun dan 47 sebatan terhadap kesalahan merogol dan mencabul selain pecah rumah, dihadapkan ke Mahkamah Majistret, semalam bagi menghadapi tuduhan menceroboh kediaman milik seorang jurujual pasar raya, tiga tahun lalu. Bagaimanapun, tertuduh, Amran Che Jaafar, 32, mengaku tidak bersalah dan meminta untuk dibicarakan terhadap pertuduhan berkenaan.
Mengikut pertuduhan, duda anak dua itu didakwa menceroboh rumah Rosnani Ngah, 26, di Jalan Langgar, di sini pada jam 6.20 pagi, 13 Mei 2011.
Untuk kesalahan itu, Amran didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Cif Inspektor Saiful Nizam Mislah tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam juga tidak mengemukakan sebarang rayuan.
|