|
KUALA LUMPUR: Peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) (Ulangan) 2014 akan berlangsung pada 9 hingga 12 Jun depan.
Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan, seramai 12,726 orang calon telah mendaftar untuk menduduki SPM (Ulangan) pada tahun ini di 227 pusat pemeriksaan yang akan dibuka di seluruh negara.
Seramai 1,590 petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar seperti dijadualkan.
Ia membabitkan kertas Bahasa Melayu dengan 5,882 calon, Matematik (2,797 calon), Sejarah (567 calon), Bahasa Melayu dan Matematik (1,539 calon), Bahasa Melayu dan Sejarah (854 calon), Matematik dan Sejarah (220 calon), Bahasa Melayu, Matematik dan Sejarah (867 calon).
Sehubungan itu, Lembaga Peperiksaan mengingatkan semua calon agar merujuk kepada jadual waktu peperiksaan untuk maklumat mengenai masa peperiksaan serta arahan dan amaran yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan itu berlangsung.
Jadual waktu peperiksaan telah diedarkan ke sekolah-sekolah dan boleh juga dimuat turun daripada laman web Lembaga Peperiksaan di alamat http://www.moe.gov.my/lp.
Calon diingatkan supaya membawa kad pengenalan masing-masing ke pusat peperiksaan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan dengan lancar.
|
|