|
WALAUPUN tiket yang dijual mulai Mac lalu, menyaksikan sambutan hangat daripada peminat, namun konsert Red Tour, Taylor Swift di Jakarta terpaksa dibatalkan.
Malah, pembatalan ini menyebabkan hampir 4,000 peminat yang juga pemegang tiket Bronze dan Silver terpaksa menelan kekecewaan.
Konsert yang dijadualkan bakal berlangsung pada 4 Jun ini, dibatalkan akibat kesilapan teknikal yang tidak dapat dielakkan.
Selaku promoter yang bertanggungjawab dalam konsert ini, PT Digital Makmur Sejahtera (DMS) turut meminta maaf di atas kekhilafan mereka.
Menurut wakil syarikat berkenaan, Emil Iskandar, pihak mereka memohon maaf di atas segala kesulitan itu dan bertindak untuk mengembalikan semula wang pembelian tiket sebelum ini.
"Kami mohon maaf kerana telah mengecewakan ribuan peminat. Kami sangat memahami kekecewaan mereka yang telah bersusah payah datang ke kiosk untuk mendapatkan tiket.
"Malah, pemulangan wang akan dilakukan secara berperingkat secara keseluruhan. Kami mencari solusinya, ternyata gagal dapatkan tiket Bronze dan Silver.
"Secara keseluruhannya, ada 449 tiket Silver dan 619 Bronze yang perlu dikembalikan 100 peratus," katanya.
Pun begitu, sehingga kini, Swift masih belum meluahkan sebarang kenyataan berhubung perkara ini.
Konsert di Malaysia diteruskan!
Konsert jelajah ini turut melibatkan beberapa negara lain termasuk Manila, Bangkok, Singapura dan juga Malaysia.
Walaupun gagal menghiburkan peminat di Jakarta, namun peluang untuk peminat di negara ini untuk menonton persembahan Swift masih terbuka luas.
Bukan sahaja di dada akhbar, malah di kaca televisyen juga, promosi dan iklan sedang giat dijalankan.
Bakal menemui peminat pada 11 Jun ini di Stadium Putra Bukit Jalil, ramai di kalangan peminat sudah tidak sabar untuk turut serta di konsert julung kali diadakan di ibu kota ini.
Pemenang anugerah Grammy ini mengambil keputusan untuk membawa konsert jelajah tersebut ke Asia Tenggara selepas mendapat permintaan tinggi daripada peminat.
Malah, sebelum ini Swift mengakui teruja untuk beraksi buat kali pertamanya di Malaysia menerusi konsert yang dibawakan oleh, PR Worldwide dan AEG Live.
Punca perpisahan Braff?
Walaupun sibuk dengan persediaan untuk konsert jelajahnya, namun pemilik nama sebenar, Taylor Alison Swift, ini tidak terlepas dari kontroversi mengenai kehidupan peribadinya.
Malah pelantun lagu, Love Story, ini dikatakan mula menjalinkan hubungan cinta yang baharu setelah kecewa dengan Harry Styles.
Bukan orang lain, jejaka yang dikaitkan dengan Swift adalah orang yang terdekat iaitu rakan kepada bekas kekasihnya.
Ada khabar angin mendakwa, Zach Braff pernah mengunjungi kediaman Swift dan menghabiskan masa bersama di sana.
Namun, Swift pantas menafikan perkara itu dan memberitahu ianya hanyalah tuduhan tidak berasas.
"Buat masa ini, saya tiada masa untuk semua itu. Malah, Braff juga tidak pernah datang ke rumah saya.
"Tak pernah walau sekalipun! Namun, kami pernah mengambil foto bersama ketika mengunjungi satu majlis hiburan.
"Namun, pertemuan itu hanya berakhir di situ. Tidak pernah saya mengajaknya ke rumah atau kami keluar bersama," katanya lagi.
Selain Styles, Swift juga pernah mempunyai hubungan cinta bersama beberapa selebriti iaitu John Mayer dan Joe Jonas.
Manakala Braff pula pernah bercinta selama lima tahun bersama Taylor Bagler, namun berpisah pada Mac lalu.
Malah, Swift juga turut dikatakan punca keretakan hubungan mereka berdua sehingga diakhiri perpisahan.
Persahabatan paling lama
Umum tahu, hubungan persahabatan Swift dan Selena Gomez masih terjalin dengan baik meskipun pernah dikatakan berantakan.
Menurut Swift, hubungan merak juga seperti pasangan bercinta apabila turut berdepan dengan masalah dan perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan.
Namun, akui Swift, persahabatan mereka adalah sesuatu yang sangat istimewa kerana mampu bertahan lama.
"Ini adalah persahabatan yang paling lama dibina. Saya kenal dia dan dia kenal siapa saya.
"Ramai orang luar yang tidak kenal kami dan cuba untuk menjatuhkan kami antara satu sama lain, namun kami sedar, ianya tidak akan mengubah apa-apa.
"Hubungan ini melalui banyak perubahan dan kami masih bertahan. Malah, ada kalanya saya rasa, saya tidak perlukan lelaki kerana dia (Gomez) sudah berikan saya segalanya," katanya lagi.
|
|