Kuching: Bedah siasat ke atas mayat Elysha Natasha Mohd Shukri, kanak-kanak berusia enam tahun yang meninggal dunia kerana disyaki didera di Kampung Sageng, Simunjan, Khamis lalu mendapati kematiannya berpunca daripada jangkitan kuman pada organ dalaman. Perkara itu disahkan sepasukan pakar forensik Hospital Umum Sarawak (HUS), di sini, yang turut mendapat bantuan pakar pergigian dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam. Malah, bedah siasat turut mendapati kesan kecederaan pada tubuh kanak-kanak itu adalah kecederaan biasa termasuk gigitan pada tangan kirinya yang dikenal pasti bukan disebabkan individu dewasa, sebaliknya sepadan dengan gigi kanak-kanak sebayanya. Ketua Polis Daerah Simunjan Deputi Superintendan Choo Yii Kok berkata, hasil bedah siasat juga mendapati tiada kesan kecederaan mencurigakan ditemui pada tubuh kanak-kanak itu yang juga pelajar prasekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Sageng, Simunjan. Beliau berkata, pasukan forensik juga tidak menemui sebarang kemasukan objek atau koyakan pada kemaluan mangsa yang boleh mengaitkan kematiannya dengan penderaan seksual atau fizikal lain. Hasil laporan forensik menyatakan tiada unsur mencurigakan dalam kes kematian mangsa, malah kesan gigitan pada tangan kirinya sepadan dengan kesan gigitan kanak-kanak lain.
|