|
Katy Perry bakal bersara...
WALAUPUN bergelar selebriti terkenal, namun sikap rendah diri, mudah didekati dan mesra peminat yang ada pada bintang ini wajar dipuji.
Malah, menerusi tinjauan pada 2013, Katy Perry merupakan artis yang mempunyai kelompok pengikut yang paling ramai di laman sosial, Twitter, iaitu lebih 50 juta.
Tidak hairanlah sekiranya, pelantun lagu, Last Friday Night, ini dinobatkan sebagai, Woman of the Year, pada malam Selasa lalu.
Menerusi majlis penghargaan, Elle Style Awards 2014, Perry dipilih untuk menerima anugerah utama ini sebagai bukti keprihatinannya terhadap peminat.
Menurut penyanyi yang popular dengan lagu, Dark Horse ini, peminat merupakan kelompok utama yang membawa dirinya hingga ke tahap ini.
"Saya berasa rendah diri untuk menerima anugerah ini kerana ianya merupakan penghargaan besar untuk saya.
"Namun, ia membuktikan bahawa kehadiran saya amat diberi perhatian oleh peminat yang sentiasa menyokong dari belakang.
"Ia merupakan pembakar semangat saya untuk terus bersama peminat," katanya yang pernah mengadakan konsert amal dalam usaha membantu pesakit kanser payudara.
Selain Perry, aktres cantik, Emma Watson turut dipilih sebagai, Actress of the Year, manakala kekasih, Bradley Cooper, Suki Waterhouse menang dalam kategori Model of the Year.
Sementara itu, gelaran Man of the Year, diraih bintang filem, Thor: The Dark World, Tom Hiddleston.
Terima lamaran?
Pada Mac tahun lalu, peminat dikejutkan dengan kisah perpisahan selebriti ini bersama John Mayer.
Namun, ketika sambutan Hari Valentine, baru-baru ini, mereka dilihat meraikannya bersama dalam suasana yang cukup romantis.
Kemesraan itu sekali gus memberi harapan kepada pasangan ini untuk kembali bersama setelah masing-masing menderita berikutan perpisahan dahulu.
Tidak terhenti di situ, Perry dan Mayer turut mempamerkan kemesraan mereka di khalayak umum ketika bersiar-siar di sekitar Hollywood sambil berpegangan tangan.
Walaupun ramai yang membuat andaian, Mayer telah pun melamar kekasihnya itu ketika Hari Kekasih, namun Perry menafikannya.
"Memang kami mula berkawan semula namun, pada malam itu, tiada sebarang lamaran yang diberi daripada Mayer.
"Kami hanya menikmati makan malam romantis walaupun hanya dalam suasana yang sederhana," katanya yang sebelum ini pernah dikatakan telah bertunang dengan kekasihnya itu.
Pun begitu, Perry mengakui bahawa Mayer adalah lelaki yang paling rapat dengannya buat masa ini.
"Kami tidak mahu terburu-buru untuk berkahwin kerana saya perlu memikirkan banyak perkara sebelum membuat keputusan itu.
"Apabila berkahwin nanti, saya nekad untuk berundur dalam industri untuk memberi tumpuan kepada anak-anak.
"Bagi saya, medan ini tidak sesuai untuk anak-anak yang sedang membesar. Saya akan jadi ibu sepenuh masa dan menguruskan anak-anak serta keluarga," katanya.
|
|