- Lori dipandu mangsa selepas merempuh treler, semalam.
[url=]<[/url] 1 / 2 [url=]>[/url]
MUAR - Seorang pemandu lori terpaksa menahan kesakitan hampir satu jam kerana tersepit selepas terbabit kemalangan dengan treler di Kilometer 141.3 Lebuh Raya Utara Selatan (arah selatan) berhampiran Plaza Tol Pagoh, semalam.
Bagaimanapun, dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, S Kalaimani, 33, yang putus kaki kanan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Nora Ismail Batu Pahat, di sini.
Mangsa berasal dari Klang memandu lori tiga tan bersama seorang kelindan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Johor Bahru untuk menghantar barangan runcit.
Setiba di tempat kejadian, lori mangsa dipercayai hilang kawalan lalu merempuh belakang treler di laluan sama.
Akibat pelanggaran kuat, lori berkenaan remuk teruk di bahagian hadapan yang mengakibatkan kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing.
Kelindan terbabit berusia 30-an cedera di kepala dipercayai terhantuk pada papan pemuka lori berkenaan.
Manakala, pemandu treler berkenaan pula yang berusia lingkungan 40-an pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Johar Tumin berkata, seramai 10 anggota dengan satu jentera berserta dua motosikal bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan jam 7.50 pagi.
“Kita mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan pemandu yang tersepit, manakala kelindan itu pula sudah dikeluarkan oleh orang awam.
“Pemandu terbabit yang dalam keadaan lemah akibat pendarahan kerana kecederaan parah dialaminya berjaya dikeluarkan dengan bantuan peralatan khas,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memberitahu kelindan terbabit dirawat di Hospital Nora Ismail Batu Pahat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my/ed ... m-tersepit-1.248479
|