PERSIAPAN skuad hoki senior negara menjelang kempen Kejohanan Hoki Piala Dunia 2014 di The Hague, Belanda pada Mei depan terencat seketika apabila ketua jurulatih, Paul Revington membuat keputusan mengejut untuk melepaskan jawatannya. Difahamkan, jurulatih kelahiran Afrika Selatan berusia 41 tahun itu memutus- kan untuk mengundur diri atas alasan kesihatan. Perkara itu disahkan oleh Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Nur Azmi Ahmad kepada Kosmo! semalam. Beliau yang enggan menjelaskan lebih terperinci berhubung perkara tersebut berkata, satu sidang akhbar khas akan diadakan hari ini. “Pihak MHC telah menerima surat peletakan jawatan daripada Revington pada Jumaat lalu. “Saya tidak mahu mengulas lebih lanjut kerana esok (hari ini) kami akan mengadakan sidang akhbar bagi menjelaskan perkara sebenar,” kata Nur Azmi ketika dihubungi Kosmo! semalam. Revington telah menghantar surat peletakan jawatannya sehari selepas sidang akhbar yang beliau turut hadir ketika mengumumkan 35 pelatih skuad senior negara yang dipengerusikan oleh Nur Azmi sendiri pada Khamis lalu. Ini merupakan kali kedua Revington melepaskan jawatannya selepas beliau dikatakan tidak berpuas hati dengan campur tangan bekas jurulatih skuad Projek 2013, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah dan Pengarah Pembangunan Hoki 1MAS, Lim Chiow Chuan pada Jun tahun lalu. Bagaimanapun, Reving- ton menarik kembali keputusannya dan bersetuju meneruskan tugas dengan skuad hoki senior negara selepas mengadakan perbincangan dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. Revington dilantik sebagai jurulatih skuad senior pada 22 Ogos 2012 apabila menandatangani kontrak selama dua tahun serta pilihan sambungan kontrak selama dua tahun lagi. Sementara itu, bekas kapten skuad negara, Nor Saiful Zaini menganggap keputusan Revington itu bakal mengundang masalah kepada anak- anak buahnya sebelum mereka berlepas ke Belanda. “Daripada pandangan saya, ia tidak sepatutnya berlaku kerana kita ada empat bulan sahaja lagi sebelum bermulanya Piala Dunia. “Sepatutnya, dia (Reving- ton) meletakkan jawatannya lebih awal,” jelasnya. Skuad senior negara akan berdepan jadual padat sepanjang tahun ini dengan menyertai beberapa kejohanan seperti Piala Sultan Azlan Shah (13-23 Mac); Cabaran Juara-Juara I (26 April-4 Mei); Kejohanan Dusseldorf Jemputan Empat Negara (15-18 Mei); Piala Dunia (31 Mei-15 Jun); Sukan Komanwel (23 Julai-3 Ogos) dan Sukan Asia (18 September-27 Oktober). ----------------------------------------------------------------------
Isk kenapa last minit baru nak letak jawatan. Ada campur tangan lagi ker?
|