8 Jan – Selepas dilanda kontroversi tahun lalu, aktres jelita Wawa Zainal atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin bakal kembali aktif dalam bidang lakonan di bawah syarikat pengurusan artis milik suaminya, Aeril Zafrel. Perkara ini dimaklumkan oleh Aeril sendiri yang turut memberitahu isterinya itu sudah pun menerima beberapa tawaran lakonan selepas berehat selama setahun daripada sebarang aktiviti seni. "Sebelum ini Wawa mengambil pendekatan untuk memberi sepenuh tumpuan pada anak kami, Ahmad Fakharuddin Attar (berusia empat bulan). InsyaAllah untuk tahun 2014, Wawa akan kembali dengan beberapa projek dan semua itu adalah di bawah pengurusan pihak saya," ujar Aeril menerusi mesej aplikasi WhatsApp seperti dipetik daripada laporan mStar. Pemilik nama sebenar Suhairil Suhari ini turut memberitahu dia sedang sibuk dengan penggambaran filem serta dua penggambaran drama bersiri yang bakal dijalankan tidak lama lagi. Aeril turut sempat berkongsi perasaannya selepas bergelar bapa pada 24 Ogos 2013. "Apabila menjadi seorang ayah, saya semakin menghargai dan memahami pengorbanan, perjuangan dan kasih sayang mereka yang sudah bergelar 'ayah'. "Detik indah yang saya lalui iaitu saat menidurkannya. Kemudian apabila anak sudah pandai tersenyum dan tergelak kecil melihat saya ketika sedar daripada tidur adalah sesuatu yang amat bermakna," katanya lagi. Dalam perkembangan lain, Aeril bersama isteri dan anak mereka telah pergi bercuti di Eropah termasuk London sejak Disember lalu. Selain pergi atas urusan kerja, Aeril, 26, dan Wawa, 23, mahu mengenali budaya dan kehidupan masyarakat negara luar.
|