31 Dis – Produser filem terkenal, Raja Azmi menafikan dakwaan yang mengatakan dia menganggap upacara bacaan doa dalam majlis anjurannya baru-baru ini tidak penting. "Saya betul-betul kecil hati dan terkilan dengan tuduhan macam itu. Sampai hati mereka tuduh tanpa usul periksa. "Takkanlah Kak Mi nak cakap macam itu? Kak Mi sangat kesal dengan fitnah dilakukan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan benda tak betul. "Tapi yang lebih saya kecewa apabila akhbar terbabit sewenang-wenangnya mengeluarkan artikel tanpa bertanyakan kesahihannya dulu," katanya kepada Harian Metro. Pada masa sama, produser berusia 54 tahun itu turut menafikan mengeluarkan kenyataan berbaur sindiran bahawa bacaan doa wajar dilakukan di surau atau masjid saja dan bukan pada majlis hiburan. "Lain saya cakap lain pula ditulis. Itu yang buat saya geram. Saya cakap dalam majlis itu, bacaan doa tak perlu dibuat lagi sebab saya sudah buat doa selamat terlebih awal di rumah sebelum majlis. "Kenapa pula fitnah saya cakap doa selamat hanya sesuai di masjid atau surau saja. Bukankah sudah bercanggah kenyataan itu? Saya ada rakaman video pada majlis itu untuk buktikan apa yang saya cakapkan." Sementara itu, Raja Azmi meminta agar akhbar berkenaan lebih berhati-hati sebelum mengeluarkan sebarang artikel berunsur kontroversi.
|